Pilih lagu sebelum mula membaca.. :)

26/06/11

Bagaimana ibadah kita?

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, tidak jemu-jemu sehari-hari ibu mengetuk pintu bilik kami dua beradik untuk solat Subuh. Bukan sekadar solat sahaja, malah berpeluang pula untuk solat berjemaah Subuh. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Namun, terasa ada kurangnya dalam ibadah yang dilakukan. Mana tidaknya, ibadah yang dilakukan tiada 'connection' dengan Tuhan yang disembah, tidak khusyuk, dan masih berfikir hal-hal lain.

Rasulullah pernah ditanya oleh Jibril tentang martabat 'ihsan', baginda menjawab :
"Bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatnya, jika engkau tidak melihatnya (sekalipun) sebenarnya ia melihat engkau."
 (Muttafaqun 'alaihi)

Hadith yang diriwayatkan oleh Al-Azdi, Aisyah radiyallahu 'anha mengatakan :
"Adalah Rasulullah s.a.w berbicara dengan kami dan kami juga berbicara dengannya tetapi bila tiba saja waktu sembahyang ia seolah-olah tidak mengenali kami dan kami pula tidak mengenalinya."

Teringat murabbi saya pernah berpesan, 'Bila masuk je solat, hilang dah semua hal tentang dunia dalam kepala.'. Rupanya telah berkata Ulama', "Setiap sembahyang itu adalah urusan akhirat, maka kamu masuk menunaikannya (bererti) kamu telah keluar dari dunia."

Takutnya jika apa yang ditulis kemudian dibaca oleh saudara-saudara, tidak pula saya amalkan. Di neraka juga tempatnya. Na'uzubillah min zalik. Apa yang disampaikan itulah yang akan diuji pada diri. Ingatlah.. apabila kita sendiri diuji dengan apa yang kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar kita melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia.
Sumber rujukan : Apa Ertinya Saya Menganut Islam oleh Al-Ustaz Fathi Yakan
~Bermujahadahlah Duhai Diri~

Setapak ke Alam 'Blogging'

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, Bersyukur ke hadrat Allah s.w.t, di saat ini masih lagi dapat bernafas, jasad masih bersatu dengan roh, masih berpeluang untuk mempergunakan dunia sebagai alat untuk mencapai matlamat iaitu akhirat.

Setelah lama mencari inspirasi menulis di blog, akhirnya saya telahpun miliki blog sendiri yang serba kekurangan setakat ini. Sebagai seorang yang tidak pandai menyusun kata, dan tidak pula banyak ilmu di dada, keyakinan itu kurang untuk menulis blog.

Sungguhpun masih banyak kekurangan yang ada, apa salahnya saya belajar sedikit demi sedikit. Selepas berjinak-jinak menghasilkan penulisan sendiri walaupun pendek di ruangan note Facebook, saya beralih ke arah penulisan di page khusus di Facebook. Benarlah, kita tidak dapat memberi jika kita tidak punya apa-apa. InsyaAllah dengan memperbanyakkan bacaan, bergaul dengan insan-insan berilmu, akan serba sedikit dapat saya kongsikan pula kepada saudara-saudara saya yang lain. 

Yang lebih penting, bila kita menulis,kita perlu berfikir. Bila kita berfikir, bukankah sebenarnya kita menggunakan akal? Bila kita guna akal, moga kita temui jalan petunjuk dan hidayah daripada Allah. Inilah yang disebutkan oleh Allah, golongan ya’kilun iaitu orang-orang yang berfikir. InsyaAllah. Yang silap tegur-tegurlah. Yang saya lupa, ingat-ingatkanlah. Yang saya kurang, tambah-tambahkanlah. Bukankah tiada manusia yang sempurna. Tetapi kita saling lengkap-melengkapi dengan kelebihan pada diri kita semua. InsyaAllah.

~Bermujahadahlah Duhai Diri~