Pilih lagu sebelum mula membaca.. :)

30/11/11

Mengapa Sombong Untuk Bergantung Pada Allah?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sesampai sahaja si mujahidah di Kolej Kediaman Bunga Raya, terus sahaja menuju ke kedai makan yang biasa dikunjungi. Seperti biasa, seorang diri. Lagipun hanya di bawah blok. Mahu diajak sesiapa, tidak tahu pula siapa. Syukur alhamdulillah, setiap hari ada sahaja rezeki untuk di makan, tempat untuk tidur, kenderaan untuk ke Kampus, subhanallah.. alhamdulillah.. Syukurlah dengan segala nikmat Allah.. 

"Lain Syakartum laazidannakum" firman Allah bermaksud, jika kamu bersyukur akan ditambah lagi. 

Setelah makan, si mujahidah masuk ke bilik, mencapai buku hijau kegemarannya. 29/11/11. 

"Manusia apabila tidak rasa dirinya lemah, dia boleh buat filem 2012, the day after tomorrow. Cuba atasi kekuasaan Allah. Padahal gunung besar boleh jadi abu."

Kecut perut mendengarkan kalam ustaz, suatu peringatan, suatu muhasabah. Subhanallah.. Alhamdulillah.. penuh dengan peringatan saat manusia lain dalam kelalaian. Tidak pernah pula si mujahidah menonton cerita the day after tomorrow. Tetapi diberitahu, antaranya membuat rumah di bawah tanah ketika kiamat berlaku gambarannya. Bolehkah? Mahu tergelak pun ada bila melihat pemikiran kaum kafirun.. 

Lahaulawalaquwwataillabilla.. Kalimah yang sering diucapkan oleh si mujahidah. Kalimah ini diingatkan oleh sahabatnya untuk dibaca setiap kali terasa tidak mampu dalam sesuatu hal. Tiada daya upaya tanpa pertolongan dan bantuan dari Allah. Hebatnya Allah, besarnya kuasa Allah, segala-galanya kita bergantung kepada Allah. Dari sekecil-kecil perkara, sehinggalah ke pekara yang besar.

Saat Rasulullah dan Abu Bakar assiddiq bersembunyi di dalam gua thur, tidak dapat digambarkan, untuk masuk ke gua tersebut, mereka tidak boleh berdiri. Gua tersebut tidaklah sedalam mana. Tetapi Allah melindungi kekasihNya dan sahabat tersayang dari musuh yang mencari mereka. Kata Abu Bakar assiddiq, apakah yang dibawa olehnya untuk berhijrah, "Allah dan RasulNya." 

Kita dan Allah, tetapi kita tidak selalu berusaha mahu 'mencuri' perhatian Allah. Kebergantungan kita kepada Allah tidak tahu setinggi mana. Raja' dan Tawakkalnya kita kepada Allah masih tidak dapat mencontohi Rasulullah yang berhijrah penuh mehnah dan tribulasi. Jarak yang jauh dengan umur 53 tahun, malu kita orang muda! Rasulullah berhijrah seusia 53tahun! Sungguh kuat dan terlalu kuat yakinnya Rasulullah dan Abu Bakar. Sungguh kuatnya kasih sayang kepada sesuatu yang Allah suka dan sayang sehingga Saidina Ali sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah! 

Sebak dada si mujahidah, dalam laju dirinya mengukir kata, apa yang ditulis akan dibaca, dan apa yang dibaca jika bermanfaat, moga menjadi bekalannya ke akhirat. walaupun saat ini, si mujahidah sudah tiada lagi. Hebatnya tauladan ummat terdahulu, kerana di mana bumi dipijak, di situlah Islam disanjung!

~Mujahadahlah Duhai Diri~




27/11/11

Teguran Allah Melalui Kata Sendiri

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


"Ana??!" seolah terkejut si mujahidah bila diminta memberi pengisian tentang anak dan ibubapa. 

"Ana bukan anak yang baik, macam mana ana nak cakap tentang ibubapa?" Sungguh terasa berat jiwa si mujahidah. Bagaimana mungkin dia perkatakan sesuatu yang sangat jauh dari dirinya sendiri. Terasa kosong isi yang perlu disampaikan kepada sahabat-sahabat sesama Islam yang akan ditemui nanti. Lahaulawalaquwwataillabilla..

"Kata mujahidah..bolehla Nadia.. Enti ni fikir complecated la. Kongsikan gambaran sebenar diri enti untuk dijadikan teladan." sokong sahabat-sahabat kepada si mujahidah. 

'Ya Allah... sungguh aku terasa sangat berat untuk sampaikan tentang ayah ibu lantaran aku sendiri perlu dimuhasabahkan dan banyak perlu diperbaiki sebagai seorang anak.. ya Allah..adakah ini teguranmu padaku?' si mujahidah sendirian bermonolog. Kehulu kehilir sambil memegang sedikit catitan yang dibuat sebagai persediaan. Apa yang diharapkan, apa yang disampaikan oleh dirinya sendiri adalah untuk kesedaran dirinya bersama sahabat-sahabat yang lain. 

'Jika mereka tidak nangis takpe, yang penting mereka ada kesedaran untuk berbuat baik kepada ibu bapa dan jangan lupa, aku juga.' si mujahidah bercakap sendirian, berlenang air matanya. Apakah teguran Allah ini.. Astaghfirullah..

"Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian, pentingnya kita memuhasabah hubungan diri kita dengan ibubapa, itu adalah PERINTAH ALLAH swt. Kita kata kita kata kita insan ditarbiyah, kita kata kita ingin reda Allah. Keredaan Allah terletak pada keredaan ibubapa. Allah berfirman di dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud, Dan kami perintahkan manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan yang lemah YANG BERTAMBAH-TAMBAH, dan menyusukannya dalam usia 2 tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu. Bila seorang pemuda ingin turut serta di dalam peperangan bersama Rasulullah saw, Rasulullah tanya dia ada tak ibu di rumah, dan katanya ada. Rasulullah minta pemuda ini balik untuk menjaga ibunya." semakin lancar si mujahidah tuturkan, semakin terasa sebak di kalbunya.. mula terketar-ketar suaranya menahan rasa tangis. Terasa dirinya sangat teruk. Terasa hinanya dirinya.

'Ibu.. maafkan along ye bu.. maafkan along.. Ya Allah.. sukarnya untuk aku bahagikan diriku kepada ibu dan ayah, kepada sahabat-sahabat, kepada gerak kerja Islam, kepada akademik, kepada seorang saudara baru yang masih belum pandai mengaji, adik yang masih banyak tidak tahu tentang Islam, seorang kawan Chinese yang mahu belajar tentang Islam, seorang kawan yang katanya mahu berubah menjadi lebih baik, Astaghfirullah....' berguguran airmata tangis seorang mujahidah... 'Allah pinjamkan sementara sahaja nikmat ibubapa' seakan terngiang dengan katanya sendiri. Sungguh, apa yang disampaikan merupakan ilham dari Allah, peringatan buat diri dan insan yang mendengar di hadapan si mujahidah.

Bersyukurlah dan jangan kufur.. 

~Mujahdahlah Duhai Diri~


23/11/11

Maha Baiknya Allah Padaku..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

"Biasalakan, semangat turun dan naik." Jawab si mujahidah ringkas apabila ibunya bertanya keadaan si mujahidah. Terasa malas sungguh baginya untuk memenuhi tuntutan pelajar hari itu. Seusai solat subuh, direbahkan kembali tubuhnya ke atas sejadah. Terlelap seketika. 

"Kak! Bangunla kak.. kelas pukul berapa ni...." Bebel adik sebiliknya yang melihat si mujahidah masih tidak bersiap lagi. Dengan lemah, si mujahidah menggagahkan diri. Jam melewati 8. Pagi tersebut sepatutnya si mujahidah ada lab. MasyaAllah.. memang sudah terlambat. Mandi pun belum lagi. Kelam kabut si mujahidah menyiapkan diri. 

Kelihatan sudah tidak ada lagi pelajar siswi yang menunggu bas sebagai tanda si mujahidah sudahpun ketinggalan. Berehat sebentar di waqaf.. 

"Ya Allah.. Engkau Maha Kuat.. Engkau yang layak memberi aku kekuatan. Kurniakanlah aku kekuatan untuk melalui hari ini ya Allah.." Jiwa rabbaninya mengadu kepada Sang Pencipta. Memusabah diri seketika. 

"Beginikah dikatakan mujahidah? Apa ertinya mujahidah? Bersungguh2? Bersungguh-sungguhkah begini keadaannya? Bangkitlah duhai mujahidah" Kata si mujahidah pada dirinya. Tiba-tiba, lalu seorang kakak yang tidak diingati namanya namun dikenalinya kerna pernah berbual mesra dahulu.

"Kak, nak ke mana kak?" Tanya si mujahidah.

"Kelas." Jawapan ringkas.

Tanpa dipelawa, si mujahidah bertanya spontan, "Boleh tumpang?"

Dengan wajah yang mengalu-alukan, "Jomlah."

Subhanallah.. Allah berfirman yang bermaksud, "berdoalah kepadaKu akan aku perkenankan kepadamu".Walaupun kadang-kadang Allah memang tidak perkenankan apa yang kita minta tetapi sebenarnya diberinya adalah yang kita lebih perlukan.

"Subhanallah.. Allah hantar aku sampai ke FKE ha.. melalui wasilah akak ni.. SUbhanallah.. Moga aku jadi orang yang bersyukur bila diberi nikmat dan sabar bila diberi ujian." Monolog si mujahidah sendirian ketika melangkah tuju ke lab. 

SUngguh Allah sangat dekat dengan hambaNya. Dan hubungan dengan Allah bukanlah setakat di dalam solat sahaja tetapi menyeluruh. Allah sangat baik dengan kita, kita juga kena berhubungan baik dengan Allah.

Syukurlah dan jangan kufur. Pandanglah setiap sesuatu ada kaitannya dengan Allah swt.. 

~Mujahadahlah Duhai Diri~

20/11/11

Kata Adik Tentang Muslimah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Kalimat demi kalimat kelihatan terhasil dari gerakan jari jemari si mujahidah. Ah, layakkah aku digelar mujahidah? Nama itu doa, amin.. moga benar-benar bergelar mujahidah.. 


‘Tulislah! Bukankah kita yakin dengan kepastian mati?’

Si mujahidah membaca sticker yang terlekat pada laptop putihnya. Harapannya agar dia juga turut mengikut jejak sahabatnya yang menemui Ilahi, tetapi coretan nasihat dan ilmu yang dikongsikan di blog-blog arwah tetap menjadi tatapan pembaca sama ada yang dikenali atau tidak, tetapi pastinya memberi manfaat. Subhanallah.. Walau sebesar zarah, pasti dihitung oleh Allah yang Maha Adil.

Suatu hari, si mujahidah menghadiri 1 program sebagai fasilitator. Adik kandugnya dan sepupu perempuan si mujahidah juga turut serta sebagai peserta di dalam program Islam tersebut. Sekembalinya dari program, adik sepupu si mujahidah berulang-ulang menyebut adik si mujahidah sangat ramai berkirim salam dan sering bertanya-tanya tentang adik. Adiknya lelaki yang mungkin ada rupa. Setelah lama berdiam apabila diberitahu oleh adik sepupu, adik si mujahidah menjawab :

‘Takde-takde, aku respect diorang sebagai budak sekolah agama. Aku tak tengok pun diowang. Semua pakai tudung labuh…’

Subhanallah.. si mujahidah yang duduk antara adiknya dan sepupu perempuannya itu tertunduk dan melafaz syukur penuh kesungguhan sendirian..  

"Begitukah pandangannya pada seorang muslimah?"

Yang tertutup itu indah. Di dalam surah al-Ahzab ayat 59, firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu."

Walaupun ada juga yang menilai dari sudut pandangan negatif, ingatlah bukan pandangan manusia yang menjadi matlamat seorang muslimah bertudung. Dan nilailah setiap sesuatu baik atau tidak berdasarkan ilmu dan dalil-dalil al-Quran dan As-sunnah..Cintalah sesuatu yang Allah cinta dan bencilah sesuatu yang Allah benci. Jadilah diri sendiri dan perbaikilah yang kurang pada diri.

Reda Allah matlamat sebenar kerana kepada Allah tempat kembali.

InsyaAllah..

~Mujahadah Duhai Diri~

8/11/11

Bersatunya Hamas dan Fatah di Palestin

Dengan Nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat muslimin dan muslimat
dan Selamat Sejahtera

            Hamas,iaitu Ḥarakat al-Muqāwamah al-ʾIslāmiyyah (Pergerakan Pembela Islam), yang diasaskan oleh Sheikh Ahmad Yassin pada tahun 1987. Hamas telah terbukti memperoleh kepercayaan yang tinggi daripada rakyat Palestin apabila memenangi pilihanraya 2006. Tambahan pula, kualiti Hamas turut didorong oleh keanggotan ahli yang terdiri daripada mereka yang professional iaitu lebih daripada 500 orang. Namun, Amerika Syarikat tidak mengiktiraf kemenangan Hamas malah AS dan Kesatuan Eropah telah menyekat bantuan ekonomi kepada Palestin demi memulaukan Hamas. Hamas dianggap sebagai pengganas walhal Israel tidak pula dikatakan sedemikian sedangkan merekalah bapa pengganas!
            Musuh Islam terdiri daripada nafsu, syaitan, orang munafiq, yahudi dan nasrani serta orang kafir lainnya, serta orang islam yang hasad dengki. Kebencian dan dendam Yahudi dan Nasrani kepada Islam telah termaktub di dalam Al-Quran, Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud :
“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka. Katakanlah, ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya).’ Dan jika engkau mengikuti keinginan mereka setelah ilmu (kebenaran) sampai kepadamu, tidak akan ada bagimu pelindung dan penolong dari Allah.”

            Setelah bertemu dan berbincang akhirnya Hamas dan Fattah telah menandatangani dokumen persefahaman dalam pertemuan mereka di Kaherah pada 27 April 2011 yang lalu. Persetujuan itu menetapkan dua pihak berkenaan akan bekerjasama dengan menolak segala perselisihan dan mengorak langkah bagi mewakili Palestin. Inilah yang ditakuti Israel! Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad memuji tindakan tersebut dan berharap dapat menjadi asas untuk segera mewujudkan pentadbiran perpaduan. Iran turut menyatakan pujian kerana percaya ia dapat mempercepat perkembangan di Palestin dan mencapai kemenangan besar ke atas Israel. Israel pastinya sangat marah sehingga  Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak memberi amaran bahawa rejim Tel Aviv tidak akan menerima kerajaan Hamas.

“Perjanjian itu satu langkah melepasi garisan merah,” kata Lieberman kepada radio tentera Israel sambil memberi amaran mereka akan mengambil tindakan balas manakala Barak berkata tentera Yahudi akan bersikap kuku besi untuk menangani sebarang ancaman dan berikar tidak akan berunding dengan Hamas.’

Janji Allah itu benar, kalam Allah itu motivasi. Allah berfirman di dalam Surah Al-Maidah ayat 44 yang bermaksud :

"..Jangan kamu takut kepada manusia, takutlah kepada Aku…"

Persefahaman yang dicapai Fatah dan Hamas adalah seperti berikut:
1.Pilihan raya
a. Jawatankuasa pilihan raya: sepakat menentukan nama-nama anggota jawatankuasa pilihan raya pusat berdasarkan persetujuan dengan kumpulan-kumpulan kecil di Palestin, dan mengajukannya kepada Presiden Palestin untuk mengeluarkan surat keputusan pembentukan jawatankuasa ini
b. Mahkamah pilihan raya: bersetuju dengan pencalonan 12 hakim sebagai anggota mahkamah pilihan raya, dan mengajukannya kepada Presiden Palestin untuk membuat keputusan dalam pembentukannya berdasarkan persetujuan dengan kumpulan-kumpulan di Palestin.
c. Waktu pilihan raya: Pilihan raya Legislatif dan Eksekutif dilakukan setahun setelah tandatangan persetujuan nasional oleh pihak kumpulan-kumpulan kecil dan penguasa Palestin.
2. Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO)
Fatah dan Hamas bersepakat bahwa keputusan kepemimpinan sementara tidak boleh digagalkan jika tidak bertentangan dengan kepentingan eksekutif PLO.

3. Keamanan
Fatah dan Hamas juga menegaskan bahawa pembentukan Jawatankuasa Tinggi Keamanan yang diputuskan Presiden Palestin terdiri daripada para pegawai tentera melalui persetujuan.
4. Pemerintahan

a.       Membentuk Pemerintahan: Fatah dan Hamas bersepakat membentuk pemerintahan Palestin, menentukan Perdana Menteri dan Menteri-menterinya melalui persetujuan.
b.      Tugas pemerintah:
1.      Menyediakan situasi kondusif bagi pilihan raya eksekutif, legislatif dan Dewan Nasional Palestin.
2.      Mengawasi persoalan perpaduan dalaman Palestin jika terjadi perpecahan
3.      Memantau pembinaan semula Gaza dan mengakhiri sekatan
4.      Memantau penerapan apa yang dicapai dalam persetujuan nasional Palestin.
5.      Menyelesaikan persoalan sivil dan birokrasi akibat perpecahan
6.      Menyatukan lembaga kekuasaan nasional di Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Baitul Maqdis.
7.      Membuat peraturan bagi penyatuan dan lembaga-lembaga tempatan dan sosial.
8.      Dewan Legislatif
Kedua-dua pihak bersepakat untuk menghidupkan kembali Lembaga Legislatif Palestin menurut undang-undang dasar. Hebatkan apabila mereka bergabung? Stay in unity and ISLAM will win! That’s a promise.. Allah berfirman di dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud :
“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (AGAMA) Allah dan janganlah kamu bercerai berai dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu  dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.”
BUKAN MELAYU SAJA, TETAPI MELAYU ISLAM. JIKA BUKAN MELAYU, TETAPI TETAP ISLAM.. ISLAM.. ISLAM.. JIKA BALIK PADA ISLAM.. INSYAaLLAH PASTI TENANG.

Rujukan :
1)      AL-QURAN AL KARIM
4)      Restricted on 09/11/2011. http://palestinkini.info/?p=9370
5)      Restricted on 09/11/2011. http://ms.wikipedia.org/wiki/Hamas

6/11/11

Wehdah-wehdah


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum wbt.

            Puji-pujian dirafakkan ke hadrat Allah swt, yang dengan sifat arrahman dan arrahimnya kita tidak putus-putus dengan pemberian nikmat dariNya. Agungkanlah kalimat takbir, Allahu akbar, Allahuakbar, Allahuakbar, walillahil hamd. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Dan segala pujian untukNya. Moga masih tidak terlambat dan terlewat untuk saya mengucapkan Salam Eidul Adha buat semua umat Islam. Taqabbal Allahu minna wa minkum wa kullu ‘aamin wa antum bikhayr (May Allah accept it from us and you and may you be well every year). Ameen

                Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji merupakan salah satu dari dua hari kebesaran dalam Islam, hari kita sewajarnya lebih banyak mengagungkan Allah s.w.t dengan bertakbir, bertahmid dan bertahlil, dan merupakan hari untuk menegakkan syariat Islam dengan ibadah korban. Maka marilah kita menggunakan kesempatan ini untuk kita meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah. Ketahuilah bahawa taqwa seseorang boleh menurun dan meningkat. Kita perlu meningkatkan lagi ketaqwaan kita dengan melakukan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Firman Allah s.w.t di dalam surah At-Taubah ayat 119:

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berserta para siddiqin.

Bermula dengan bertakbir pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan bersolat sunat dan mendengar khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah. Tarikh 11, 12 dan 13 Zulhijjah ini juga dikenali sebagai hari-hari Tasyrik. Imam Muslim dalam sahihnya daripada Nabi s.a.w yang bermaksud :
" Hari-hari Mina merupakan hari-hari makan dan minum juga hari mengingati Allah s.w.t "
Pada Ogos lalu, 2 badan Muslim terbesar di Indonesia iaitu Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah tidak mencapai kata sepakat dalam menyambut Aidilfitri pada hari yang sama. Namun,bagai suatu hikmah, kali ini, mereka telah mencapai persetujuan dalam menentukan tarikh yang sama bagi menyambut Aidiladha.
Di China misalnya di Kashgar, sambutan Aidiladha lebih meriah dan bermakna kerana selain menghayati syariat ibadah korban, penduduk di sana juga menikmati cuti umum selama 3 hari. Masjid Eidgah yang terletak di Dataran Eidgah dibersihkan untuk umat Islam mengerjakan solat sunah Aidiladha. Untuk pengetahuan anda, masjid tersebut mampu menampung 100 ribu jemaah. Dan pada hari-hari biasa, seramai 20 ribu orang yang datang untuk solat berjemaah di masjid tersebut. Subhanallah! Ibadat korban di sana tidak dilakukan di masjid, tetapi di rumah masing-masing dan diagihkan sendiri. Kulit binatang korban seperti lembu, kambing dan unta disedekahkan kepada masjid untuk diagih-agihkan kepada golongan daif dan miskin.
Tidak ketinggalan pula di Gaza yang baru-baru ini diberi ‘serangan amaran’ dari arah laut oleh rejim zionis, tetap meraikan juga sambutan Aidiladha. Sekretariat Misi Cakna Palestin (Cakna Palestin) mengadakan program Qurban dan Akikah di Gaza buat kali ke-2 tahun ini (2011/1432H). Daging-daging korban diagih-agihkan kepada penduduk Khan Younis, Gaza, Palestin dengan kerjasama Badan Kebajikan Ar-Rahmah, sebuah NGO tempatan di sana.
Walau di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, walau di mana diri bertapak, di situ Islam disanjung. Kerana Islam, kita bersaudara walau berbeza bangsa dan bahasa, warna kulit, budaya dan negara, ia adalah umat yang satu. Dimana sahaja umat Islam berada, kita tetap umat yang satu, yang mengadap ke arah satu Kiblat dan sujud kepada Tuhan yang Esa. Kita adalah umat yang tidak lupa kepada mereka yang kurang kemampuan dengan memberikan zakat dan sedekah, tidak kira di mana mereka berada. Lihatlah bagaimana Allah s.w.t mewajibkan semua umat Islam yang melakukan ibadah haji agar berkumpul di satu tempat, di satu masa dengan pakaian yang sama. Tidakkah ini menunjukkan bahawa umat Islam adalah satu umat yang diwajibkan bersatu? Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran, ayat 103:

Ertinya: Dan hendaklah kamu berpegang-teguh dengan tali Allah (ugama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai.

Wallahua’lam.

‘With Ukwah We Care’

Arab
Latin
Terjemahan
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar
لا إله إلا الله
la ilaha illa Allah
Tidak ada Tuhan selain Allah
الله أكبر الله أكبر
Allahu akbar, Allahu akbar
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar
ولله الحمد
wa li-illahi al-hamd
Segala puji hanya bagi Allah

Rujukan Penulisan :
1)      Tafsir Al-Quran, Pustaka Darul Iman
2)     2)  Khutbah Aidiladha, Majlis Ugama Islam Singapura, 23 Februari 2002 / 10 Zulhijjah 1422, Pengajaran daripada Aidiladha

3) Program Qurban di Gaza kali ke-2 (1432H / 2011M). Cakna Palestin. 10 July 2011. Program Qurban di Gaza kali-2 (1432H / 2011M) Restricted: 07/11/2011M) http://misicaknapalestin.blogspot.com/2011/07/program-qurban-di-gaza-kali-ke-2-1432h.htm

4)      Ibnu Hasyim. 07 November 2011. Umat Islam China Sambut Aidiladha 7 Novemver. restricted: 07 nOVEMBER 2011. http://www.ibnuhasyim.com/2011/11/umat-islam-china-sambut-aidiladha-7.html

5)     5)  Fazlinda. 23 November 2009. Restricted: 07 November 2011. http://fazlinda1982.blogspot.com/2009/11/salam-iduladha.html