Pilih lagu sebelum mula membaca.. :)

6/11/11

Wehdah-wehdah


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum wbt.

            Puji-pujian dirafakkan ke hadrat Allah swt, yang dengan sifat arrahman dan arrahimnya kita tidak putus-putus dengan pemberian nikmat dariNya. Agungkanlah kalimat takbir, Allahu akbar, Allahuakbar, Allahuakbar, walillahil hamd. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Dan segala pujian untukNya. Moga masih tidak terlambat dan terlewat untuk saya mengucapkan Salam Eidul Adha buat semua umat Islam. Taqabbal Allahu minna wa minkum wa kullu ‘aamin wa antum bikhayr (May Allah accept it from us and you and may you be well every year). Ameen

                Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji merupakan salah satu dari dua hari kebesaran dalam Islam, hari kita sewajarnya lebih banyak mengagungkan Allah s.w.t dengan bertakbir, bertahmid dan bertahlil, dan merupakan hari untuk menegakkan syariat Islam dengan ibadah korban. Maka marilah kita menggunakan kesempatan ini untuk kita meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah. Ketahuilah bahawa taqwa seseorang boleh menurun dan meningkat. Kita perlu meningkatkan lagi ketaqwaan kita dengan melakukan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Firman Allah s.w.t di dalam surah At-Taubah ayat 119:

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berserta para siddiqin.

Bermula dengan bertakbir pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan bersolat sunat dan mendengar khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah. Tarikh 11, 12 dan 13 Zulhijjah ini juga dikenali sebagai hari-hari Tasyrik. Imam Muslim dalam sahihnya daripada Nabi s.a.w yang bermaksud :
" Hari-hari Mina merupakan hari-hari makan dan minum juga hari mengingati Allah s.w.t "
Pada Ogos lalu, 2 badan Muslim terbesar di Indonesia iaitu Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah tidak mencapai kata sepakat dalam menyambut Aidilfitri pada hari yang sama. Namun,bagai suatu hikmah, kali ini, mereka telah mencapai persetujuan dalam menentukan tarikh yang sama bagi menyambut Aidiladha.
Di China misalnya di Kashgar, sambutan Aidiladha lebih meriah dan bermakna kerana selain menghayati syariat ibadah korban, penduduk di sana juga menikmati cuti umum selama 3 hari. Masjid Eidgah yang terletak di Dataran Eidgah dibersihkan untuk umat Islam mengerjakan solat sunah Aidiladha. Untuk pengetahuan anda, masjid tersebut mampu menampung 100 ribu jemaah. Dan pada hari-hari biasa, seramai 20 ribu orang yang datang untuk solat berjemaah di masjid tersebut. Subhanallah! Ibadat korban di sana tidak dilakukan di masjid, tetapi di rumah masing-masing dan diagihkan sendiri. Kulit binatang korban seperti lembu, kambing dan unta disedekahkan kepada masjid untuk diagih-agihkan kepada golongan daif dan miskin.
Tidak ketinggalan pula di Gaza yang baru-baru ini diberi ‘serangan amaran’ dari arah laut oleh rejim zionis, tetap meraikan juga sambutan Aidiladha. Sekretariat Misi Cakna Palestin (Cakna Palestin) mengadakan program Qurban dan Akikah di Gaza buat kali ke-2 tahun ini (2011/1432H). Daging-daging korban diagih-agihkan kepada penduduk Khan Younis, Gaza, Palestin dengan kerjasama Badan Kebajikan Ar-Rahmah, sebuah NGO tempatan di sana.
Walau di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, walau di mana diri bertapak, di situ Islam disanjung. Kerana Islam, kita bersaudara walau berbeza bangsa dan bahasa, warna kulit, budaya dan negara, ia adalah umat yang satu. Dimana sahaja umat Islam berada, kita tetap umat yang satu, yang mengadap ke arah satu Kiblat dan sujud kepada Tuhan yang Esa. Kita adalah umat yang tidak lupa kepada mereka yang kurang kemampuan dengan memberikan zakat dan sedekah, tidak kira di mana mereka berada. Lihatlah bagaimana Allah s.w.t mewajibkan semua umat Islam yang melakukan ibadah haji agar berkumpul di satu tempat, di satu masa dengan pakaian yang sama. Tidakkah ini menunjukkan bahawa umat Islam adalah satu umat yang diwajibkan bersatu? Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran, ayat 103:

Ertinya: Dan hendaklah kamu berpegang-teguh dengan tali Allah (ugama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai.

Wallahua’lam.

‘With Ukwah We Care’

Arab
Latin
Terjemahan
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar
لا إله إلا الله
la ilaha illa Allah
Tidak ada Tuhan selain Allah
الله أكبر الله أكبر
Allahu akbar, Allahu akbar
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar
ولله الحمد
wa li-illahi al-hamd
Segala puji hanya bagi Allah

Rujukan Penulisan :
1)      Tafsir Al-Quran, Pustaka Darul Iman
2)     2)  Khutbah Aidiladha, Majlis Ugama Islam Singapura, 23 Februari 2002 / 10 Zulhijjah 1422, Pengajaran daripada Aidiladha

3) Program Qurban di Gaza kali ke-2 (1432H / 2011M). Cakna Palestin. 10 July 2011. Program Qurban di Gaza kali-2 (1432H / 2011M) Restricted: 07/11/2011M) http://misicaknapalestin.blogspot.com/2011/07/program-qurban-di-gaza-kali-ke-2-1432h.htm

4)      Ibnu Hasyim. 07 November 2011. Umat Islam China Sambut Aidiladha 7 Novemver. restricted: 07 nOVEMBER 2011. http://www.ibnuhasyim.com/2011/11/umat-islam-china-sambut-aidiladha-7.html

5)     5)  Fazlinda. 23 November 2009. Restricted: 07 November 2011. http://fazlinda1982.blogspot.com/2009/11/salam-iduladha.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan