Pilih lagu sebelum mula membaca.. :)

10/12/11

Perjuangan Demi Perjuangan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, selesai sudah AGM Badar UTeM semalam, direhatkan pimpinan 2010/2011 untuk memberi ruang dan peluang naiknya pimpinan baru Badar UTeM 2011/2012. Namun segala khidmat nasihat, sumbangan idea, komen membina, tunjuk ajar dari pimpinan yang lalu tidak diragukan akan diberi oleh mereka. Terima kasih diucapkan, jazakumullahukhairan kasirah.. 

Buat pimpinan baru, yang diterajui oleh  Saudara Khairul Hafizan Bin Ne'mat, sebenarnya kita bukanlah pemula kepada perjuangan, tetapi kita adalah penyambung rantai perjuangan yang dibawa oleh Badar UTeM sebelum ini yang diterajui oleh Saudara Abdul Rahman bin Idrus sebelum ini. Suatu cabaran dan tanggungjawab untuk mengekalkan momentum gerak kerja yang ditunjukkan oleh mereka. 

Suka sekali saya ulangi ayat ini, 
"Wahai orang-orang yang beriman! Maukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. Niscaya Allah mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan tempat-tempat tinggal yang baik di dalam syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang agung. Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita germbira kepada orang-orang mukmin." (boleh rujuk surah assaf ayat 10-13)

Jadi, selamat bertugas. Jawatan bukanlah tasyrifan, tetapi merupakan taklifan. Perlu lebih baik dari sebelumnya. InsyaAllah!

NYDP Badar UTeM 2011/2012
~Mujahdah Duhai Mujahidah~

7/12/11

Sejauh Manakah Kekalnya Cinta Sesama Manusia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

"Walaumacam manapun cinta dia pada kita, tetap akan berpisah juga. Kalau dia tak tinggalkan kita semasa dunia, mungkin dia akan meninggal dunia dan berpisah dengan kita."

Si mujahidah mengingat kembali kata-katanya yang diambil dari sumber lain. Teringat dia akan Siti Aminah, umminya Rasulullah saw. Ketika baru 3bulan menikah, Abdullah berangkat ke Syam untuk berniaga. Saat menunggu kepulangan suami dengan penuh rindu, khabar pemergian Abdullah pula yang diterima. Namun, bayi dalam kandungan Siti Aminah menjadi bukti kasih sayang mereka berdua. Abdullah meniggalkan Aminah. 

"Kita bercinta kerana Allah, kita inginkan dirinya pun kerana Allah." Wah, takutnya si mujahidah dengan kata-katanya sendiri. Moga kuat saat diri sendiri diuji nanti. 

"Manusia ni cuma sebagai medium je.. Betapa manisnya cinta dengan manusia, sebenarnya cinta dengan Allah lebih hebat lagi dari itu. Maknanya memang hebatlah cinta Allah ni! Takkan kecewa punya..."

Si mujahidah mengulang kata-kata dari Fatimah Syarha yang pernah dibaca. Mana tidaknya, bercinta dengan Allah, sampai akhirnya nanti kita akan bertemu dengan Allah, sedangkan cinta dengan manusia, dia akan pergi juga, di akhirat nanti belum tentu dia nak jadikan kita biadadari syurga untuk dia. Layak sangatkah kita? Sedangkan jika bercinta dengan Allah.. insyaAllah, patuhi arahannya, jauhi larangannya, cinta apa yang dicintaiNya dan benci apa yang dibenciNya, insyaAllah kita peroleh cinta dariNya. 

Bercinta dengan manusia, kita rasa cemburu. Seperti dalam topik Poligami yang dibincangkan di dalam majalah Solusi, apabila bermadu, seorang wanita sebenarnya telah mengorbankan perasaan yang sangat besar. Saidatina Aisyah pun sendiri cemburkan Saidatina Khadijah yang sudah meninggal ketika itu, inikan pula kita yang entah sesiapa. Pasti ada juga yang terselit namun mungkin tidak dizahirkan, cuba diteguhkan. Sedangkan jika bercinta dengan Allah, bila orang lain bercinta dengan Allah juga, kita jadi rasa 'kebersamaan' untuk bersama-sama mencintai Allah. Subhanallah.. hebat sungguh cintaMu Allah...

Rasa cinta, adalah 1 anugerah Tuhan pada hambaNya.  Dan kerananya, manusia sanggup apa sahaja, asalkan dia memiliki apa yang dicita. Tetapi pastikah cintamu dihargai? Mungkinkah dirinya kan tetap setia? Setelah kau serahkan jiwa dan ragamu? Mungkinkah dipastikan akan berkekalan?

Cintailah kerana Allah, Bencilah kerana Allah, Moga kita peroleh redha Allah.

~Mujahadah Duhai Diri~

2/12/11

Takkan Tak Nampak Lagi Kowt?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

"Wahai orang yang beriman, jika kamu tolong agama Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan mengukuhkan kedudukanmu." (Surah Muhammad ayat 7)

Hari itu, si mujahidah masuk ke kelas seperti biasa. Malang baginya, pensyarah tiba-tiba memberitahu adanya 'pop quiz'. Kuiz di UTeM ibarat ujian-ujian kecil semasa di sekolah. Lahaulawalaquwwataillabillah.. Langsung tiada persediaan.. Walaupun hanya menyumbang beberapa percent tetapi kuiz tetap penting bagi memperoleh markah 'carry marks' yang baik. Lantas hatinya memohon bantuan Allah.. Penuh pasrah.

Sebelum memulakan kuiz, pensyarah mengajar terlebih dahulu. Rupanya apa yang diajarkan itu adalah ulangkaji bagi menghadapi kuiz. Tumpuan diberikan sebaiknya dan alhamdulillah, dia mudah faham apa yang diajarkan pada hari itu. SUbhanallah.. 

Semasa menjawab kuiz, si mujahidah sangka dia peroleh jawapan yang salah. Namun setelah berusaha dan dibantu pula oleh Allah swt, alhamdulillah, dia dapat selesaikan sebaiknya. Namun, betul atau salah belum tentu lagi.

Alhamdulillah, si mujahidah memperoleh markah penuh untuk kuiz tersebut. Hari berikutnya, terasa malas ke kelas. Si mujahidah duduk di Masjid, mengulangkaji tanpa rasa serba salah. Datang seorang sahabat sekelas, 

"Kenapa tak masuk kelas?" Tanya kakSuhaina.

"Malas." Jawab si mujahidah ringkas tanpa reaksi bersalah sedikit pun!

"Markah dapat fullkan? TAKKAN TAK NAMPAK LAGI KOWT?" Tiba-tiba si mujahidah tersentap dengan ayat tersebut. 

"Astaghfirullah..." Terpamer wajah kesal pada raut wajahnya.

Sahabat, teman, kawan. Tiada ukhuwah tanpa iman, dan tidak sempurna iman tanpa ukhuwah. Semasa Fatayat tadi, Kakhamiza ada menyentuh tentang peranan sahabat berkait dengan video yang ditayangkan. Mereka adalah cermin bagi kita. Ibarat jika berkawan dengan orang-orang yang lalai, maka kita turut sama lalai walaupun kita cuba mempertahankan diri kita agar tidak lalai. Jika berkawan dengan orang-orang yang soleh, insyaAllah dia menjadi kayu ukur pada diri kita, saat kita lalai dia datang mengingatkan, saat kita bahagia dia tumpang bersama. 

Kita tidak layak memiliki sahabat sehebat saidina Ali, Abu Bakar, Uthman Affan, Umar al-Khattab dan lain-lain lagi kerana kita bukan sehebat Rasulullah. Tetapi hargailah mereka di sekeliling kita, bersahabatlah kerana Allah, mengikut cara apa yang Allah suka kita dalam bersahabat. InsyaAllah. 

~Mujahadahlah Duhai Diri~

30/11/11

Mengapa Sombong Untuk Bergantung Pada Allah?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sesampai sahaja si mujahidah di Kolej Kediaman Bunga Raya, terus sahaja menuju ke kedai makan yang biasa dikunjungi. Seperti biasa, seorang diri. Lagipun hanya di bawah blok. Mahu diajak sesiapa, tidak tahu pula siapa. Syukur alhamdulillah, setiap hari ada sahaja rezeki untuk di makan, tempat untuk tidur, kenderaan untuk ke Kampus, subhanallah.. alhamdulillah.. Syukurlah dengan segala nikmat Allah.. 

"Lain Syakartum laazidannakum" firman Allah bermaksud, jika kamu bersyukur akan ditambah lagi. 

Setelah makan, si mujahidah masuk ke bilik, mencapai buku hijau kegemarannya. 29/11/11. 

"Manusia apabila tidak rasa dirinya lemah, dia boleh buat filem 2012, the day after tomorrow. Cuba atasi kekuasaan Allah. Padahal gunung besar boleh jadi abu."

Kecut perut mendengarkan kalam ustaz, suatu peringatan, suatu muhasabah. Subhanallah.. Alhamdulillah.. penuh dengan peringatan saat manusia lain dalam kelalaian. Tidak pernah pula si mujahidah menonton cerita the day after tomorrow. Tetapi diberitahu, antaranya membuat rumah di bawah tanah ketika kiamat berlaku gambarannya. Bolehkah? Mahu tergelak pun ada bila melihat pemikiran kaum kafirun.. 

Lahaulawalaquwwataillabilla.. Kalimah yang sering diucapkan oleh si mujahidah. Kalimah ini diingatkan oleh sahabatnya untuk dibaca setiap kali terasa tidak mampu dalam sesuatu hal. Tiada daya upaya tanpa pertolongan dan bantuan dari Allah. Hebatnya Allah, besarnya kuasa Allah, segala-galanya kita bergantung kepada Allah. Dari sekecil-kecil perkara, sehinggalah ke pekara yang besar.

Saat Rasulullah dan Abu Bakar assiddiq bersembunyi di dalam gua thur, tidak dapat digambarkan, untuk masuk ke gua tersebut, mereka tidak boleh berdiri. Gua tersebut tidaklah sedalam mana. Tetapi Allah melindungi kekasihNya dan sahabat tersayang dari musuh yang mencari mereka. Kata Abu Bakar assiddiq, apakah yang dibawa olehnya untuk berhijrah, "Allah dan RasulNya." 

Kita dan Allah, tetapi kita tidak selalu berusaha mahu 'mencuri' perhatian Allah. Kebergantungan kita kepada Allah tidak tahu setinggi mana. Raja' dan Tawakkalnya kita kepada Allah masih tidak dapat mencontohi Rasulullah yang berhijrah penuh mehnah dan tribulasi. Jarak yang jauh dengan umur 53 tahun, malu kita orang muda! Rasulullah berhijrah seusia 53tahun! Sungguh kuat dan terlalu kuat yakinnya Rasulullah dan Abu Bakar. Sungguh kuatnya kasih sayang kepada sesuatu yang Allah suka dan sayang sehingga Saidina Ali sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah! 

Sebak dada si mujahidah, dalam laju dirinya mengukir kata, apa yang ditulis akan dibaca, dan apa yang dibaca jika bermanfaat, moga menjadi bekalannya ke akhirat. walaupun saat ini, si mujahidah sudah tiada lagi. Hebatnya tauladan ummat terdahulu, kerana di mana bumi dipijak, di situlah Islam disanjung!

~Mujahadahlah Duhai Diri~




27/11/11

Teguran Allah Melalui Kata Sendiri

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


"Ana??!" seolah terkejut si mujahidah bila diminta memberi pengisian tentang anak dan ibubapa. 

"Ana bukan anak yang baik, macam mana ana nak cakap tentang ibubapa?" Sungguh terasa berat jiwa si mujahidah. Bagaimana mungkin dia perkatakan sesuatu yang sangat jauh dari dirinya sendiri. Terasa kosong isi yang perlu disampaikan kepada sahabat-sahabat sesama Islam yang akan ditemui nanti. Lahaulawalaquwwataillabilla..

"Kata mujahidah..bolehla Nadia.. Enti ni fikir complecated la. Kongsikan gambaran sebenar diri enti untuk dijadikan teladan." sokong sahabat-sahabat kepada si mujahidah. 

'Ya Allah... sungguh aku terasa sangat berat untuk sampaikan tentang ayah ibu lantaran aku sendiri perlu dimuhasabahkan dan banyak perlu diperbaiki sebagai seorang anak.. ya Allah..adakah ini teguranmu padaku?' si mujahidah sendirian bermonolog. Kehulu kehilir sambil memegang sedikit catitan yang dibuat sebagai persediaan. Apa yang diharapkan, apa yang disampaikan oleh dirinya sendiri adalah untuk kesedaran dirinya bersama sahabat-sahabat yang lain. 

'Jika mereka tidak nangis takpe, yang penting mereka ada kesedaran untuk berbuat baik kepada ibu bapa dan jangan lupa, aku juga.' si mujahidah bercakap sendirian, berlenang air matanya. Apakah teguran Allah ini.. Astaghfirullah..

"Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian, pentingnya kita memuhasabah hubungan diri kita dengan ibubapa, itu adalah PERINTAH ALLAH swt. Kita kata kita kata kita insan ditarbiyah, kita kata kita ingin reda Allah. Keredaan Allah terletak pada keredaan ibubapa. Allah berfirman di dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud, Dan kami perintahkan manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan yang lemah YANG BERTAMBAH-TAMBAH, dan menyusukannya dalam usia 2 tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu. Bila seorang pemuda ingin turut serta di dalam peperangan bersama Rasulullah saw, Rasulullah tanya dia ada tak ibu di rumah, dan katanya ada. Rasulullah minta pemuda ini balik untuk menjaga ibunya." semakin lancar si mujahidah tuturkan, semakin terasa sebak di kalbunya.. mula terketar-ketar suaranya menahan rasa tangis. Terasa dirinya sangat teruk. Terasa hinanya dirinya.

'Ibu.. maafkan along ye bu.. maafkan along.. Ya Allah.. sukarnya untuk aku bahagikan diriku kepada ibu dan ayah, kepada sahabat-sahabat, kepada gerak kerja Islam, kepada akademik, kepada seorang saudara baru yang masih belum pandai mengaji, adik yang masih banyak tidak tahu tentang Islam, seorang kawan Chinese yang mahu belajar tentang Islam, seorang kawan yang katanya mahu berubah menjadi lebih baik, Astaghfirullah....' berguguran airmata tangis seorang mujahidah... 'Allah pinjamkan sementara sahaja nikmat ibubapa' seakan terngiang dengan katanya sendiri. Sungguh, apa yang disampaikan merupakan ilham dari Allah, peringatan buat diri dan insan yang mendengar di hadapan si mujahidah.

Bersyukurlah dan jangan kufur.. 

~Mujahdahlah Duhai Diri~


23/11/11

Maha Baiknya Allah Padaku..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

"Biasalakan, semangat turun dan naik." Jawab si mujahidah ringkas apabila ibunya bertanya keadaan si mujahidah. Terasa malas sungguh baginya untuk memenuhi tuntutan pelajar hari itu. Seusai solat subuh, direbahkan kembali tubuhnya ke atas sejadah. Terlelap seketika. 

"Kak! Bangunla kak.. kelas pukul berapa ni...." Bebel adik sebiliknya yang melihat si mujahidah masih tidak bersiap lagi. Dengan lemah, si mujahidah menggagahkan diri. Jam melewati 8. Pagi tersebut sepatutnya si mujahidah ada lab. MasyaAllah.. memang sudah terlambat. Mandi pun belum lagi. Kelam kabut si mujahidah menyiapkan diri. 

Kelihatan sudah tidak ada lagi pelajar siswi yang menunggu bas sebagai tanda si mujahidah sudahpun ketinggalan. Berehat sebentar di waqaf.. 

"Ya Allah.. Engkau Maha Kuat.. Engkau yang layak memberi aku kekuatan. Kurniakanlah aku kekuatan untuk melalui hari ini ya Allah.." Jiwa rabbaninya mengadu kepada Sang Pencipta. Memusabah diri seketika. 

"Beginikah dikatakan mujahidah? Apa ertinya mujahidah? Bersungguh2? Bersungguh-sungguhkah begini keadaannya? Bangkitlah duhai mujahidah" Kata si mujahidah pada dirinya. Tiba-tiba, lalu seorang kakak yang tidak diingati namanya namun dikenalinya kerna pernah berbual mesra dahulu.

"Kak, nak ke mana kak?" Tanya si mujahidah.

"Kelas." Jawapan ringkas.

Tanpa dipelawa, si mujahidah bertanya spontan, "Boleh tumpang?"

Dengan wajah yang mengalu-alukan, "Jomlah."

Subhanallah.. Allah berfirman yang bermaksud, "berdoalah kepadaKu akan aku perkenankan kepadamu".Walaupun kadang-kadang Allah memang tidak perkenankan apa yang kita minta tetapi sebenarnya diberinya adalah yang kita lebih perlukan.

"Subhanallah.. Allah hantar aku sampai ke FKE ha.. melalui wasilah akak ni.. SUbhanallah.. Moga aku jadi orang yang bersyukur bila diberi nikmat dan sabar bila diberi ujian." Monolog si mujahidah sendirian ketika melangkah tuju ke lab. 

SUngguh Allah sangat dekat dengan hambaNya. Dan hubungan dengan Allah bukanlah setakat di dalam solat sahaja tetapi menyeluruh. Allah sangat baik dengan kita, kita juga kena berhubungan baik dengan Allah.

Syukurlah dan jangan kufur. Pandanglah setiap sesuatu ada kaitannya dengan Allah swt.. 

~Mujahadahlah Duhai Diri~

20/11/11

Kata Adik Tentang Muslimah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Kalimat demi kalimat kelihatan terhasil dari gerakan jari jemari si mujahidah. Ah, layakkah aku digelar mujahidah? Nama itu doa, amin.. moga benar-benar bergelar mujahidah.. 


‘Tulislah! Bukankah kita yakin dengan kepastian mati?’

Si mujahidah membaca sticker yang terlekat pada laptop putihnya. Harapannya agar dia juga turut mengikut jejak sahabatnya yang menemui Ilahi, tetapi coretan nasihat dan ilmu yang dikongsikan di blog-blog arwah tetap menjadi tatapan pembaca sama ada yang dikenali atau tidak, tetapi pastinya memberi manfaat. Subhanallah.. Walau sebesar zarah, pasti dihitung oleh Allah yang Maha Adil.

Suatu hari, si mujahidah menghadiri 1 program sebagai fasilitator. Adik kandugnya dan sepupu perempuan si mujahidah juga turut serta sebagai peserta di dalam program Islam tersebut. Sekembalinya dari program, adik sepupu si mujahidah berulang-ulang menyebut adik si mujahidah sangat ramai berkirim salam dan sering bertanya-tanya tentang adik. Adiknya lelaki yang mungkin ada rupa. Setelah lama berdiam apabila diberitahu oleh adik sepupu, adik si mujahidah menjawab :

‘Takde-takde, aku respect diorang sebagai budak sekolah agama. Aku tak tengok pun diowang. Semua pakai tudung labuh…’

Subhanallah.. si mujahidah yang duduk antara adiknya dan sepupu perempuannya itu tertunduk dan melafaz syukur penuh kesungguhan sendirian..  

"Begitukah pandangannya pada seorang muslimah?"

Yang tertutup itu indah. Di dalam surah al-Ahzab ayat 59, firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu."

Walaupun ada juga yang menilai dari sudut pandangan negatif, ingatlah bukan pandangan manusia yang menjadi matlamat seorang muslimah bertudung. Dan nilailah setiap sesuatu baik atau tidak berdasarkan ilmu dan dalil-dalil al-Quran dan As-sunnah..Cintalah sesuatu yang Allah cinta dan bencilah sesuatu yang Allah benci. Jadilah diri sendiri dan perbaikilah yang kurang pada diri.

Reda Allah matlamat sebenar kerana kepada Allah tempat kembali.

InsyaAllah..

~Mujahadah Duhai Diri~

8/11/11

Bersatunya Hamas dan Fatah di Palestin

Dengan Nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat muslimin dan muslimat
dan Selamat Sejahtera

            Hamas,iaitu Ḥarakat al-Muqāwamah al-ʾIslāmiyyah (Pergerakan Pembela Islam), yang diasaskan oleh Sheikh Ahmad Yassin pada tahun 1987. Hamas telah terbukti memperoleh kepercayaan yang tinggi daripada rakyat Palestin apabila memenangi pilihanraya 2006. Tambahan pula, kualiti Hamas turut didorong oleh keanggotan ahli yang terdiri daripada mereka yang professional iaitu lebih daripada 500 orang. Namun, Amerika Syarikat tidak mengiktiraf kemenangan Hamas malah AS dan Kesatuan Eropah telah menyekat bantuan ekonomi kepada Palestin demi memulaukan Hamas. Hamas dianggap sebagai pengganas walhal Israel tidak pula dikatakan sedemikian sedangkan merekalah bapa pengganas!
            Musuh Islam terdiri daripada nafsu, syaitan, orang munafiq, yahudi dan nasrani serta orang kafir lainnya, serta orang islam yang hasad dengki. Kebencian dan dendam Yahudi dan Nasrani kepada Islam telah termaktub di dalam Al-Quran, Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud :
“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka. Katakanlah, ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya).’ Dan jika engkau mengikuti keinginan mereka setelah ilmu (kebenaran) sampai kepadamu, tidak akan ada bagimu pelindung dan penolong dari Allah.”

            Setelah bertemu dan berbincang akhirnya Hamas dan Fattah telah menandatangani dokumen persefahaman dalam pertemuan mereka di Kaherah pada 27 April 2011 yang lalu. Persetujuan itu menetapkan dua pihak berkenaan akan bekerjasama dengan menolak segala perselisihan dan mengorak langkah bagi mewakili Palestin. Inilah yang ditakuti Israel! Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad memuji tindakan tersebut dan berharap dapat menjadi asas untuk segera mewujudkan pentadbiran perpaduan. Iran turut menyatakan pujian kerana percaya ia dapat mempercepat perkembangan di Palestin dan mencapai kemenangan besar ke atas Israel. Israel pastinya sangat marah sehingga  Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak memberi amaran bahawa rejim Tel Aviv tidak akan menerima kerajaan Hamas.

“Perjanjian itu satu langkah melepasi garisan merah,” kata Lieberman kepada radio tentera Israel sambil memberi amaran mereka akan mengambil tindakan balas manakala Barak berkata tentera Yahudi akan bersikap kuku besi untuk menangani sebarang ancaman dan berikar tidak akan berunding dengan Hamas.’

Janji Allah itu benar, kalam Allah itu motivasi. Allah berfirman di dalam Surah Al-Maidah ayat 44 yang bermaksud :

"..Jangan kamu takut kepada manusia, takutlah kepada Aku…"

Persefahaman yang dicapai Fatah dan Hamas adalah seperti berikut:
1.Pilihan raya
a. Jawatankuasa pilihan raya: sepakat menentukan nama-nama anggota jawatankuasa pilihan raya pusat berdasarkan persetujuan dengan kumpulan-kumpulan kecil di Palestin, dan mengajukannya kepada Presiden Palestin untuk mengeluarkan surat keputusan pembentukan jawatankuasa ini
b. Mahkamah pilihan raya: bersetuju dengan pencalonan 12 hakim sebagai anggota mahkamah pilihan raya, dan mengajukannya kepada Presiden Palestin untuk membuat keputusan dalam pembentukannya berdasarkan persetujuan dengan kumpulan-kumpulan di Palestin.
c. Waktu pilihan raya: Pilihan raya Legislatif dan Eksekutif dilakukan setahun setelah tandatangan persetujuan nasional oleh pihak kumpulan-kumpulan kecil dan penguasa Palestin.
2. Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO)
Fatah dan Hamas bersepakat bahwa keputusan kepemimpinan sementara tidak boleh digagalkan jika tidak bertentangan dengan kepentingan eksekutif PLO.

3. Keamanan
Fatah dan Hamas juga menegaskan bahawa pembentukan Jawatankuasa Tinggi Keamanan yang diputuskan Presiden Palestin terdiri daripada para pegawai tentera melalui persetujuan.
4. Pemerintahan

a.       Membentuk Pemerintahan: Fatah dan Hamas bersepakat membentuk pemerintahan Palestin, menentukan Perdana Menteri dan Menteri-menterinya melalui persetujuan.
b.      Tugas pemerintah:
1.      Menyediakan situasi kondusif bagi pilihan raya eksekutif, legislatif dan Dewan Nasional Palestin.
2.      Mengawasi persoalan perpaduan dalaman Palestin jika terjadi perpecahan
3.      Memantau pembinaan semula Gaza dan mengakhiri sekatan
4.      Memantau penerapan apa yang dicapai dalam persetujuan nasional Palestin.
5.      Menyelesaikan persoalan sivil dan birokrasi akibat perpecahan
6.      Menyatukan lembaga kekuasaan nasional di Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Baitul Maqdis.
7.      Membuat peraturan bagi penyatuan dan lembaga-lembaga tempatan dan sosial.
8.      Dewan Legislatif
Kedua-dua pihak bersepakat untuk menghidupkan kembali Lembaga Legislatif Palestin menurut undang-undang dasar. Hebatkan apabila mereka bergabung? Stay in unity and ISLAM will win! That’s a promise.. Allah berfirman di dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud :
“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (AGAMA) Allah dan janganlah kamu bercerai berai dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu  dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.”
BUKAN MELAYU SAJA, TETAPI MELAYU ISLAM. JIKA BUKAN MELAYU, TETAPI TETAP ISLAM.. ISLAM.. ISLAM.. JIKA BALIK PADA ISLAM.. INSYAaLLAH PASTI TENANG.

Rujukan :
1)      AL-QURAN AL KARIM
4)      Restricted on 09/11/2011. http://palestinkini.info/?p=9370
5)      Restricted on 09/11/2011. http://ms.wikipedia.org/wiki/Hamas

6/11/11

Wehdah-wehdah


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum wbt.

            Puji-pujian dirafakkan ke hadrat Allah swt, yang dengan sifat arrahman dan arrahimnya kita tidak putus-putus dengan pemberian nikmat dariNya. Agungkanlah kalimat takbir, Allahu akbar, Allahuakbar, Allahuakbar, walillahil hamd. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Dan segala pujian untukNya. Moga masih tidak terlambat dan terlewat untuk saya mengucapkan Salam Eidul Adha buat semua umat Islam. Taqabbal Allahu minna wa minkum wa kullu ‘aamin wa antum bikhayr (May Allah accept it from us and you and may you be well every year). Ameen

                Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji merupakan salah satu dari dua hari kebesaran dalam Islam, hari kita sewajarnya lebih banyak mengagungkan Allah s.w.t dengan bertakbir, bertahmid dan bertahlil, dan merupakan hari untuk menegakkan syariat Islam dengan ibadah korban. Maka marilah kita menggunakan kesempatan ini untuk kita meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah. Ketahuilah bahawa taqwa seseorang boleh menurun dan meningkat. Kita perlu meningkatkan lagi ketaqwaan kita dengan melakukan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Firman Allah s.w.t di dalam surah At-Taubah ayat 119:

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berserta para siddiqin.

Bermula dengan bertakbir pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan bersolat sunat dan mendengar khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah. Tarikh 11, 12 dan 13 Zulhijjah ini juga dikenali sebagai hari-hari Tasyrik. Imam Muslim dalam sahihnya daripada Nabi s.a.w yang bermaksud :
" Hari-hari Mina merupakan hari-hari makan dan minum juga hari mengingati Allah s.w.t "
Pada Ogos lalu, 2 badan Muslim terbesar di Indonesia iaitu Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah tidak mencapai kata sepakat dalam menyambut Aidilfitri pada hari yang sama. Namun,bagai suatu hikmah, kali ini, mereka telah mencapai persetujuan dalam menentukan tarikh yang sama bagi menyambut Aidiladha.
Di China misalnya di Kashgar, sambutan Aidiladha lebih meriah dan bermakna kerana selain menghayati syariat ibadah korban, penduduk di sana juga menikmati cuti umum selama 3 hari. Masjid Eidgah yang terletak di Dataran Eidgah dibersihkan untuk umat Islam mengerjakan solat sunah Aidiladha. Untuk pengetahuan anda, masjid tersebut mampu menampung 100 ribu jemaah. Dan pada hari-hari biasa, seramai 20 ribu orang yang datang untuk solat berjemaah di masjid tersebut. Subhanallah! Ibadat korban di sana tidak dilakukan di masjid, tetapi di rumah masing-masing dan diagihkan sendiri. Kulit binatang korban seperti lembu, kambing dan unta disedekahkan kepada masjid untuk diagih-agihkan kepada golongan daif dan miskin.
Tidak ketinggalan pula di Gaza yang baru-baru ini diberi ‘serangan amaran’ dari arah laut oleh rejim zionis, tetap meraikan juga sambutan Aidiladha. Sekretariat Misi Cakna Palestin (Cakna Palestin) mengadakan program Qurban dan Akikah di Gaza buat kali ke-2 tahun ini (2011/1432H). Daging-daging korban diagih-agihkan kepada penduduk Khan Younis, Gaza, Palestin dengan kerjasama Badan Kebajikan Ar-Rahmah, sebuah NGO tempatan di sana.
Walau di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, walau di mana diri bertapak, di situ Islam disanjung. Kerana Islam, kita bersaudara walau berbeza bangsa dan bahasa, warna kulit, budaya dan negara, ia adalah umat yang satu. Dimana sahaja umat Islam berada, kita tetap umat yang satu, yang mengadap ke arah satu Kiblat dan sujud kepada Tuhan yang Esa. Kita adalah umat yang tidak lupa kepada mereka yang kurang kemampuan dengan memberikan zakat dan sedekah, tidak kira di mana mereka berada. Lihatlah bagaimana Allah s.w.t mewajibkan semua umat Islam yang melakukan ibadah haji agar berkumpul di satu tempat, di satu masa dengan pakaian yang sama. Tidakkah ini menunjukkan bahawa umat Islam adalah satu umat yang diwajibkan bersatu? Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran, ayat 103:

Ertinya: Dan hendaklah kamu berpegang-teguh dengan tali Allah (ugama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai.

Wallahua’lam.

‘With Ukwah We Care’

Arab
Latin
Terjemahan
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar
لا إله إلا الله
la ilaha illa Allah
Tidak ada Tuhan selain Allah
الله أكبر الله أكبر
Allahu akbar, Allahu akbar
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar
ولله الحمد
wa li-illahi al-hamd
Segala puji hanya bagi Allah

Rujukan Penulisan :
1)      Tafsir Al-Quran, Pustaka Darul Iman
2)     2)  Khutbah Aidiladha, Majlis Ugama Islam Singapura, 23 Februari 2002 / 10 Zulhijjah 1422, Pengajaran daripada Aidiladha

3) Program Qurban di Gaza kali ke-2 (1432H / 2011M). Cakna Palestin. 10 July 2011. Program Qurban di Gaza kali-2 (1432H / 2011M) Restricted: 07/11/2011M) http://misicaknapalestin.blogspot.com/2011/07/program-qurban-di-gaza-kali-ke-2-1432h.htm

4)      Ibnu Hasyim. 07 November 2011. Umat Islam China Sambut Aidiladha 7 Novemver. restricted: 07 nOVEMBER 2011. http://www.ibnuhasyim.com/2011/11/umat-islam-china-sambut-aidiladha-7.html

5)     5)  Fazlinda. 23 November 2009. Restricted: 07 November 2011. http://fazlinda1982.blogspot.com/2009/11/salam-iduladha.html

9/10/11

Peringatan Itu Untuk Diri Sendiri

BIsmillahirrahmanirrahim..

Subhanallah.. alhamdulillah.. allahuakbar..

“Betapa syukurnya dihatiku”, seolah-olah mendendang lagu nyanyian UNIC, tapi part itu sahajala, menggambarkan betapa syukurnya hati saya memiliki sahabat-sahabat, ibu dan ayah malah musuh yang sering mengingatkan kesilapan. Walaupun adakalanya kasar teguran dan nasihat yang diberi, tapi saya yakin, teguran dan nasihat itu sebenarnya dari Allah tetapi disebabkan kelemahan dan kekurangan manusia itu sendiri, peringatan tersebut disampaikan dalam bentuk yang sebegitu rupa.

Teringat suatu hari sedang saya duduk seorang diri bersama seorang makcik guard sebuah sekolah di sekitar kawasan perumahan saya, sedang kami sedang rancak berborak kosong, lalu seorang gadis cantik molek tanpa bertudung dan agak seksi di hadapan kami. Lalu makcik ini berkata :

“Budak-budak sekarang ni.. tengok tu!”

Pandangan kami masih bertumpu pada gadis tadi sehinggalah hilang kelibatnya. Hanya saya yang melarikan pandangan. Bimbang juga pandangan ini mengundang dosa. Mata saya kembali melihat wajah makcik tidak bertudung dihadapan saya ini.

“Budak-budak kenalah pakai tudung!”

Saya jadi pelik. Apa dia kata? Sedapnya dengar.. subhanallah.. dia sedar akan pentingnya bertudung tapi…

“Budak makcik?”

“Yerla… “

Saya diam. Hanya diam. Tidak sedarkah yang kewajipan bertudung itu bukan sahaja wajib ke atas “budak”? atau sebenarnya insan di hadapan saya ini bukan orang Islam? Apa yang dia faham tentang hukum Islam.

“Tapi makcik, kewajipan bertudung tu kan wajib ke atas wanita Islam..”

Selembutnya ucapan cuba saya tuturkan.. tanpa merujuk pada dirinya sendiri..dengan harapan makcik ini tidak terasa tetpi tetap mendapat input yang sepatutnya..

“Makcik takpe…”

Herm.. saya tak fahamlah. Sungguh saya tidak faham Beginikah keadaan saya kalau saya berkata tetapi tidak saya buat? Pasti keliru orang yang mendengarkannya kan? Itu pandangan manusia, bagaimana pula dengan pandangan Allah pada orang yang berkata tetapi tidak dilaksanakan apa yang dikata? Kalau kita, menyampah tak orang yang cakap pada kita begini dan begitu, tetapi terang-terangan di hadapan kita dia lakukan perbuatan tersebut? Pelik, menyampah, marah, malas nak dengar?

Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca Kitab (taurat)? Tidakkah kamu mengerti?” (Surah AlBaqarah ayat 44)

Wahai orang yang beriman! Mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?” (Surah Assaf ayat 2)

Dan teruslah memberi peringatan, kerana peringatan itu sangat bermanfaat bagi orang yang beriman.
Wallaua’lam.

12/08/11

Cerita Si Anak Kecil


Bismillahirrahmanirrahim...
Setelah beberapa minit melayan pelanggan yang membeli juadah berbuka puasa, saya lihat anak kepada peniaga di sebelah warung sedang bermainan di warung saya. Sibuk sungguh nampaknya dia membelek kereta mainan sambil tangannya dipangkukan di atas kerusi duduk di warung ayah dan ibu saya.

Selama ini saya suka memerhatinya dari jauh sahaja. Kali ini dia begitu hampir. Spontan, saya mendekatkan kerusi lain duduk hampir dengannya. Dia seolah2 terkesima, berhenti dari membelek kereta permainan kecil itu dan memandang ke arah saya. Saya membalas pandanannya, dengan spontan mengusap kepalanya, sambil di hati berdetik, 'Ya Allah, jadikan anak ini menjadi hmbaMu yang taat.'

Seperti mendengar suara hati.. anak ini berlari2 anak mendapatkan ibunya dgn bahasa y tidak difahami, dia berbicara dgn si ibu dgn wajah y sgt ceria hingga terlihat gigi depan y baru tumbuh, smbil jarinya menuding2 ke arah saya. Apa maksudnya tu?

Anak ini.. alangkah beruntungnya jika doa dimakbulkan oleh Allah..
Doa... senjata mukmin.

10/08/11

Islahkan Dirimu!

Bismillahirrahmanirrahim..
Seperti biasa hariannya di rumah selama beberapa bulan bercuti, setelah selesai beberapa perkara urusan diri seusai bangun dari tidur, saya mula menyapu, mengemop rumah, melipat pakaian, uruskan baju yang hendak dicuci dan telah dicuci, bersihkan rumah itu dan ini. Selesai itu semua, saya akan ke warung pula untuk membantu di sana. Dengan niat di hati, moga beroleh keredaan ibu dan ayah kerana keredaan Allahkan terletak pada keredaan mereka. Namun, bila mereka balik, lain yang saya harapkan lain pula yang saya dapatkan dari mereka. Itu yang tak kena, ini tak kena. Semuanya nyata tidak sempurna. Tanpa saya sedari, saya kecewa, saya mula rasa malas untuk mengemas rumah, saya mula rasa bosan duduk di rumah, dan yang paling penting, saya mula rasa tidak bersyukur! Sedangkan ibu dan ayah itu adalah nikmat, rumah adalah 
nikmat, segala apa yang ada pada hari ini yang Allah pinjamkan adalah nikmat.

Kenapa mesti kecewa? Kalau buat kerana Allah semata mesti tidak kecewakan? Ubahlah diri baru orang lain. Muhasabahlah semula. Mungkin hasil kerja kita sempurna di mata kita tetapi tidak pada orang lain. Jika teguran itu dan ini yang tidak kena diperbaiki dengan lapang dada bukankah akan memberi kebaikan pada diri kita juga? Kita juga yang belajar sesuatu yang baru dan melatih kemahiran pada diri kita. 

'Jangan pandang siapa yang berkata, tapi pandanglah apa kata-katanya.' Kalimat ini diucapkan oleh Sayidina Ali. 

Berfikiran positif itu yang lebih baik. Ambillah masa dan janganlah berputus asa. Yang pasti, luruskanlah niat semata kerana Allah. InsyaAllah, Allah akan tolong. Jika hilang semangat, fikir semula, kalau bukan kita, siapa yang akan ubah?

Pernah saya katakana pada seorang sahabat, ‘ada hikmahnya enti direhatkan satu semester akan datang supaya enti boleh tebus semula masa yang enti kurang luangkan dengan mama.jangan lepaskan peluang ini ya!’ Segala puji baginya kata-kata itu dikembalikan semula kepada diri saya. Saat ini bisa tersenyum. Maha Suci Bagi Allah! Segala pujian hanya bagiNya!

‘La hawla walaa quwwata illa billah…proses mahu mengajar dan belajar memakan masa…tidak secepat menanam sayur sawi dan kangkung yang cepat bertukar-tukar. Dan masa bersama mama yang lama dipendekkan lagi dengan kami harus berjauhan buat seketika atas sebab mama mahu menjaga cucunya, Syuhadah. Aku tidak menyalahi kelahiran Syuhada menjauhkan kami malah kelahiran Syuhadah mengeratkan hubungan kekeluargaan kami. Subhanallah alhamdulillah rahmat dari seorang bayi yang Allah beri. Alhamdulillah.

Dia terpaksa berjauhan dengan mamanya, sedangkan saya tidak. Setiap hari berpeluang menatap wajah ibu dan ayah.. ya Allah.. kenapa mesti kufur?? Kenapa tidak bersyukur??

‘Hanya sabar yang boleh meneruskan usahaku untuk berdakwah bersama keluargaku mahupun orang lain. Andai aku tidak sabar..lalu siapa lagi yang mahu menyampaikan kepada mereka? HANYA BERSABAR….dengan IKHLAS..dan BERDOA…BERUSAHA dan BERTWAKKAL.’

Imam Hassan Al-Banna seorang mujadid Islam yang terkenal dan merupakan pengasas kepada gerakan Ikhwanul Muslimin, telah membentuk satu sistem bagi membentuk semula sebuah negara Islam yang sebenar. Dalam pada itu, imam Hassan Al-Banna telah menetapkan beberapa marhalah ataupun tingkatan dakwah yang harus dilalui bagi membentuk sebuah negara Islam.
1) Fardhil Muslim (individu muslim)2) Baitul Muslim (keluarga muslim)3) Mujtama' Muslim (masyarakat muslim)4) Daulah Islamiyah (negara Islam)

Untuk membina melepasi marhalah yang pertama dalam tingkatan dakwah, maka tidak boleh tidak, perlunya kepada setiap individu muslim untuk muhasabah semula diri sendiri dan kenali diri anda. Muhasabah diri ialah seseorang itu melakukan timbang tara(check & balance) terhadap dirinya sendiri. Sabda Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadis


Dari Syadad bin Aus r.a. berkata, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Orang yang pandai adalah yang menghisab (menilai) dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah s.w.t.)
(HR. Imam Turmudzi, ia berkata, ‘Hadits ini adalah hadis hasan’)


Perlunya muhasabah ini adalah untuk kita mengenali diri kita dengan lebih mendalam. Kita perlu tahu dimana kekuatan dan kelemaha yang ada pada kita, bagaimana ingin memaksimakan kekuatan yang ada di samping meminimakan kelemahan dan mencari jalan untuk mengatasinya. Selain itu, perlu juga kita mengenali sifat-sifat dalam diri kita, sifat-sifat terpuji yang perlu kita islahkan dan sifat-sifat buruk yang perlu kita kuburkan di samping menanam kembali benih-benih sifat terpuji yang lain. 

Dalam keberkatan bulan Ramadhan ini, marilah kita sama-sama membetulkan diri kita. Inilah bulan yang paling mudah untuk kita mengenal diri kita yang sebenarnya. Ini kerana dalam bulan ini, Syaitan telah dibelenggu. Jadi tiada alasan untuk kita menyalahkan syaitan sebagai penyebab perlakuan sumbang yang kita lakukan saban hari. Saya tertarik dengan kata-kata ustaz fakrurrazi dalam berbicara soal ini


" Sekiranya dalam bulan ramadhan ini, kamu masih lagi melakukan kemungkaran, kamu masih lagi bersifat mazmumah, maka itulah diri kamu yang sebenar. Tiada lagi syaitan sebagai alasan kerana dalam bulan ramadhan syaitan sudah terbelenggu. Maka terimalah hakikat ini dan mulakan perubahan dalam diri anda"


Oleh itu, gunakanlah ramadhan ini dengan sebaiknya dalam membentuk diri anda ke arah seorang muslim yang sejati. Kenalilah diri anda sebaiknya dah hapuskan segala yang buruk pada diri anda. Jikalau merasakan diri tidak mampu, maka kurangkanlah dari melakukan perkara-perkara buruk tersebut, insyaAllah, lama-kelamaan ianya pasti akan berjaya anda tewaskan.