Pilih lagu sebelum mula membaca.. :)

31/07/11

Bermaknanya Setiap 31/07

Bismillahirrahmanirrahim
Kata orang, anak adalah rezeki. Masih teringat kata atok Hussin yang sedang menunaikan ibadah umrah,

Rezeki tu bukan duit je, nikmat mata semua tu rezeki juga,” pada tarikh lahir ayah dan adik atok Hussin bertolak ke Mekah setelah 9 hari di Madinah. Pasti telah disampaikan salam saya kepada baginda yang dirindui, Rasulullah saw.

Selamat hari lahir En. Zakaria,” kata seorang jururawat hospital berbayar tersebut sambil menghulurkan adik ke pengkuan ayah. Berbeza dengan saya yang dilahirkan di hospital besar sahaja. Kata ibu, beranak di hospital besar seksa. Berdasarkan cerita ibu, mungkin dari segi layanan yang diberikan.

Dalam surah as-Syura ayat 49 dan 50, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dia menciptakan apa yang Ia kehendaki. Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Ia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa yang Ia kehendaki). Dan Dia menjadikan mandul kepada siapa yang Ia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

Tanggal 31/07/67 merupakan tarikh kelahiran ayah tercinta, adik pula dilahirkan pada 31/07/95. Ayah, seorang yang suka melayan kerenah kami dua beradik. Selalu ‘back up’ saya untuk ke mana-mana aktiviti luar. Seorang yang selalu memberi sokongan saya dalam penglibatan luar dan dalam. Selalu memberi kata-kata semangat. Walaupun kadang-kadang selalu terburu-buru, tapi selalu bersegera untuk hadir saat saya sangat memerlukan kasih seorang ayah. Alhamdulillah,hingga ke saat ini saya masih ada ayah.

Adik, satu-satunyalah racun dan penawar saya. Walaupun kadang-kadang degil, tetapi menjadi penghibur dan teman berbicara di rumah. Sangat aktif dalam aktviti silat namun tidak pula suka diketahui penglibatannya. Katanya tidak suka menunjuk.

Dari pembaca, mohon hadiahkanlah al-fatehah buat roh adik saya dan ayah saya semoga mereka memiliki jiwa yang tenang dan sentiasa dalam rahmat dan hidayah Allah. Jazakumullahukhaira. 

29/07/11

Perasaan Itu Satu Jihad

Bismillahirrahmanirrahim
Fatayat merupakah program khusus buat mahasiswi UTeM yang juga menjadi aktiviti mingguan pelajar KOlej Matrikulasi Johor. Pada minggu itu, saya menjadi penyampai tidak bertauliah. Malunya kerana yang di hadapan saya bukanlah calang-calang orang, terdiri dari insan-insan berpengalaman dan lebih tinggi ilmunya. Tajuk pada minggu itu adalah “Kau dan Aku”. Ramai sungguh hari itu yang hadir. Salah satu cerita yang saya kongsikan termasuklah soal cinta di alam sekolah. Lucu.

“Adakah patut muslimin tu suka pada saya? Buta agaknya,” itulah dialog yang saya gunakan sehingga tertawa mereka dibuatnya.

Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian, saya tertatik pada nota di Facebook dari seorang rakan Facebook dan menarik untuk saya kongsikan di sini. Soal minat, suka, jatuh hati, jatuh cinta, apa-apalah soal jatuh-jatuhkan. Yang penting bukan jatuh tangga. Sakit jatuh tangga tetapi jatuh hati juga tidak kurang hebat juga sakitnya. Saya kurang pasti kenapa penulis menggunakan ‘kita’. Jom baca!

Pernahkah kita minat dia? Pernah tak kita jatuh hati pada dia? WallahuAlam.. Allah jak yg thu bagaimana perasaan kita pada si dia.. Hari yg amat kita tak sangka2kn.. Allah utuskan si dia agr dipertemukan pada kita..sedangkan Allah nk uji hambanya,semasa c dia melintasi dihadapan kita,kita tunduk,,kita jadikan ghoddul bhashar..sbagai perhiasan kedua mata kita..subhanAllah..Indah sangat.. semasa c dia melintasinya..kita mengelakkan diri,agr x tertipu dgn godaan mata Adam..
Hari berselang hari, Sewaktu kita hendak menunaikan s0lat jumaat secara berjemaah di Masjid Kota Belud, kita terserempak pada si dia..entah kenapa,jantung kita tiba2 berdenyut kencang.. Astaghfirullah..bibir mulai menyebut kalimah Allah..sewaktu,kita sedang khusyuk mendengar khutbah yg di sampaikan, Allah tarik lirikan mata kita,agar melihat sesuatu..kita lihat seorg muslimin,sedang khusyuk menolong seorg insan yg tidak berdaya..kita lihat dgn kedua belah mata kita sndri..SubhanAllah...baik sngt hamba ini..kita terpesona melihat kelakuannya..kita tundukkan pndangan..terus muhasabah diri..'jahat sangat..' Waktu terus berlalu... kita tak sangka,Allah pertemukan kita pada si dia buat kali yg ke3.. hati tertnya2..

'Ya..Allah,,mengapa insan ini jua yg kulihat..apa kah engkau rancangkan sesuatu buat hambamu ini Ya Allah..??'

kita cuba tundukkan pandangan..agr x pernah terlintas nak dekati zina.. Alhamdulillah..Allah permudahkn urusan hambanya..:) semasa mengikuti program tentang Islam.. disitu,barulah kita tahu,muslimin yg sntiasa kita lihat adalah seorg muslimin yg sngt hebat..boleh dikatakn  ahli2 syabab d masjid tersebut.. kita ikuti stiap program disitu, sewaktu mengikuti kuliah..kita tak sangka,muslimin yg kita lihat itu,,akan memberikan sedikit tazkirah utk dikongsi bersama.. proram itu,bermula pmbukaannya dgn umul furqan Al-Fatihah,,dan di akhiri dgn Tasbih Kafarah dan surah Al-Asr.. semasa tazkirah dijalankan..kita dengar setiap kata2 muslimin itu..stiap kata2nya..mmbuatkan kita sebak,cepat sangat masuk ke hati..mungkin,,ini Allah nak tunjukkan,bahawa tarbiah dariNya amat hebat..sangat hebat..

Setelah program itu selesai.. ia telah dirasmikan oleh salah seorang dripada persatuan tersebut.. hari itu,,kita rasa mcm hati nk sangat menangis,,kerana hati kita akn terpisah dgn hati kakak-kakak yg telah beberapa hari,mentarbiah diri kita..SubhanAllah..kita tak sangka..pertemuan hanya sementara,tapi,Allah dah hadiahkan tautan hati antara kita semua..SubhanAllah..baik sangat Allah pada kita.. Setelah sampai dirumah,, kita gunakan sepertiga mlm utk meluah padaNya... kerana apa?Allah rindu nak dengar suara kita merintih padaNya.. sewaktu mngerjakan s0lat sunat tahajjud..tiba2,kita terbayang wajah muslimin itu dlm sujud kita..

Astaghfirullah.jantung berdenyut kencang,bibir pula tidak lekang utk brtasbih pada yg maha Esa.. hati kita trtanya..mengapa wajah muslimin ini trbayang sewaktu kita sujud..? Secara tidak langsung,kita rasakn,yg kita mulai menyimpan perasaan padanya.. akn tetapi,biarlah di atas landasan syariatnya..Allah sedang menguji kesetiaan hambanya..

setelah sekian lama kita menyimpan perasaan itu,,kita rasakan ia amat sukar utk kita tempuh.. ia amat berat jika tidak diluahkan..tpi,,kita cuba sedaya upaya..agr kita dapat lwan nafsu kita..kita teringt pada hadis ini..'jihad yang paling besar,adalah jihad menahan nafsu..'

Jihad yang paling utama adalah jihad seseorang melawan hawa nafsunya.” (HR Abu Nu’aim dan Abu an Najjar dari Abu Dzar r.a.)

Kita nangis,,disebabkan memendam perasaan pada muslimin tu.. tapi,,tahukah kita..Allah sedang menguji kita,,sejauh mana keimanan kita,sejauh mna kesetiaan kita padaNya.. mlm tu..kita bangun,nk luah pada Allah..yg kita x mampu nk tempuhi ujian perasaan..ia amat berat bgi kita..
kita kata pada Allah..

"ya..Allah,aku mencintai insan ini,bkn kerana rupa parasnya,tetapi keperibadiannya,mmbuatkan aku jtuh cinta akn agamanya..membuatkan aku terpesona dengan pentarbiahan drinya..jika dia milikku,dekatkanlah hatiku dengannya..jika dia bkn milikku,damaikanlah hatiku dgn ketentuanmu.."

itu kita cakap pda Allah..kita hambanya hnya mampu merancang,tapi..Allah yg tentukannya..kita percaya akn qadak dan qadarNya..

Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji. Sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik". [Surah al-Nur, ayat 26]

 kita serahkan mreka pada Allah..biar Allah yg tentukan..kalau muslimin itu bkn utk kita..itu bererti,,Allah nk hadiahkan kita Rojulun yg s0leh dan taat akn agamanya..yg dpat memimpin kita ke Jannah(syurga)nnti..Insya'Allah...:)

Moga ada manfaat diperoleh bersama. Telah tercatat namanya untuk kita di Loh Mahfuz. Juga telah tercatat nama kita untuknya sejak azali lagi. Hanya Allah yang tahu, tak siapa di antara kita yang mengetahui. Mungkin kita masih tertanya-tanya siapakah dirinya yang Allah telah ciptakan untuk kita menemani hidupnua, pelengkap hidupnya, dibimbing olehnya, sayap kiri kepadanya, pembantu keluarganya serta ayah kepada anak-anak kita nanti. Pengetahuan Allah meliputi seluruh alam.


~Mujahadahlah Duhai Diri~

Ku Mengharapkan Ramadan Kali Ini Penuh Makna

Bismillahirrahmanirrahim
Tuhanku iaitu Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu agar kamu bertakwa." (Surah Al-Baqarah: ayat 183)

Sejujurnya saya resah menanti Ramadan kerana sering memikirkan ‘mampukah aku lakukan yang terbaik Ramadan kali ini’? Moga Ramadan kali ini kita hadapi lebih baik terutama mahasiswa seperti saya yang berpeluang berpuasa di rumah dari awal Ramadan hinggalah ke akhirnya insyaallah. Dengan tiada tugasan seperti sahabat-sahabat kita yang berada di ‘medan jihad’ meneruskan perjuangan menuntut ilmu, ada yang mungkin sedang bekerja, ada yang mungkin sedang LI dalam dan luar. Berbanding kita yang menjadi suri atau sura rumah (mungkin ditujukan kepada muslimin kowt) sepenuh masa, berpeluang melaksanakan ibadah-ibadah khusus sebaiknya. Jangan! Jangan dilepaskan peluang ini! Peluang yang tidak pasti selepas ini akan datang lagi atau tidak. Namun, bagi sahabat-sahabat yang bukan seperti saya, teruskan perjuangan anda, pasti ada juga nilai untuk anda. Jangan risau, Allah Maha Adil.

Ramadan 1432H, tahun 2011, merupakan tahun ke 20 saya menyambut Ramadan.

Ibu, masa mula-mula along belajar puasa macam mana ye?” sahaja saya membuka cerita untuk mengimbau kenangan lalu bersama ibu. Sejak menulis blog, suka benar saya bertanya soalan-soalan sebegitu kepada ayah, ibu dan sesiapa sahaja yang berkaitan. Mungkin untuk ditulis, mungkin juga untuk difikirkan sendirian.

Sampai lebam-lebam mata,” jawab ibu sampai tersenyum. Saya pula tergelak lucu membayangkan wajah sendiri semasa kecil.

Ayah curi-curi bagi makan,” tambah ibu.

Awak-awak, jangan bagitau ayah kita tau kita dah minum. Ingat tau,” saya meminta dari kawan baik saya ketika zaman kanak-kanak dulu yang melihat saya meneguk air mineral di dalam kereta. Kelakar juga.
Pernah sewaktu saya berada di tingkatan satu, saya meletakkan biskut kacang pemberian ibu dan ayah di dalam beg balik kampong. Pada malamnya, terasa ingin menjamah biskut kegemaran saya ketika itu. Beg tersebut saya letakkan di dalam bilik penyimpanan beg. Tercengang dan beristighfar saya apabila melihat beg saya terbuka, dan biskut saya yang asalnya masih belum berbuka berterabur di luar beg. Pelik dan ajaib.

Takkan kucing makan biskut kak?” berkecut dahi saya semasa memberitahu kakak ‘couple katil’ saya. Kakak-kakak dorm semua menggelakkan sahaja. Mungkin lucu, ada yang mencuri biskut kacang dalam beg balik kampong. Apa sahajalah.

Ramadan.. Ramadan.. Ramadan.. Madrasah Ramadan, madrasah tarbiyah. Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian, selama kita melalui madrasah ini adakah meninggalkan bekas? Apakah kita menjadi semakin insaf? Semakian reda dengan ketentuanNya? Semakin kuat berusaha keranaNya? Semakin sabar dengan ujian-Nya? Semakin ikhlas beribadat kepadaNya? Semakin berserah kepadaNya? Semakin yakin akan kehadiranNya? Semakin ingin kembali kepadaNya?

Atau, kita semakin menjadi pemarah? Semakin banyak berburuk sangka? Semakin menjadi pendengki? Semakin ego? Semakian tamakkan dunia? Semakin suka memfitnah? Semakin tidak sabar? Semakin suka berbohong? Semakin enak menikmati rasuah? Semakin asyik meninggalkan solat? Semakin kedekut? Semakin penakut? Semakin malas berjihad? Semakin menurut hawa nafsu yang meliar?
Sungguhpun soalan-soalan ini Nampak ringkas tetapi hati yang jujur akan menggeletar untuk menjawabnya. Senarai ini boleh dijadikan senarai semak untuk mengukur tahap perjalanan kemajuan rohani meliputi persoalan mengukur prestasi ibadah puasa.

Setiap coretan di blog saya bukanlah bermakna saya cukup sempurna tentang apa yang saya bicarakan, tetapi sebagai tatapan dan renungan bersama antara saya dan para pembaca. Para pembaca mungkin terdiri dari para sahabat yang mengenali diri dan saya dan tidak mengenali. Apabila saya terleka dan terlalai dari apa yang pernah saya bicarakan, ketika itulah anda memainkan peranan untuk memperingatkan. Namun, saya lebih berlapang dada jika teguran tersebut jujur dan ikhlas dari hati dan bukan bertujuan mengaibkan. Namun jika sebaliknya yang datang, apakan daya saya, teguran pastinya datang dari Allah dari medium yang menguji iman kepada Tuhan.

"Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yg terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan sedikitlah orang yang memberi peringatan."- Hasan al-Basri

~Mujahadahlah Duhai Diri~

27/07/11

Kenali Saya Lebih Dekat

Bismillahirrahmanirrahim
Hari itu kami ke rumah Allahyarham Atok Esah (al-Fatehah), nenek saya sebelah ayah. Insan yang sangat menyayangi saya sehingga menanggung perbelanjaan saya ke umrah ketika saya masih dalam darjah 5. Saya menyarung telekung dan berdiri menghadapkan kiblat membelakangkan ayah yang baring mengiring ke arah saya. Ayah membacakan setiap ‘qauli’ di dalam solat dengan kuat sambil berbaring di atas katil bujang, dan saya pula membuat gerakan ‘fi’li’ solat.

Tanpa saya sedarinya ayah rupanya ayah sedang mengajar saya untuk solat. Sehari 5 kali, akhirnya bacaan tersebut dapatpun dihafal. Pembelajaran di sekolah pula banyak membantu untuk menambahkan lagi kelancaran bacaan solat saya. Syukur Alhamdulillah, saya beruntung kerana saya berpeluang memiliki ilmu tersebut sekaligus dapat melaksanakan rukun Islam ke 2 itu. Alhamdulillah.

Saya dihantar ke tadika cina kerana ayah kata, saya perlu belajar bahasa tersebut sehinggakan ayah dan ibu memohon untuk memasukkan saya ke darjah 1 di sekolah cina juga. Namun, pasti ada hikmahnya, setibanya saya pada hari pendaftaran, kami diberi tahu bahawa kami lewat untuk berdaftar di sekolah tersebut. Pelajar sudah cukup ramai dan tiada ruang untuk saya menuntut di situ. Akhirnya, ayah menghantar saya ke Sek Keb Johor Jaya 1.

Saya merupakan pelajar yang sangat pendiam. Montel semestinya. Hehe. Hinggalah saya berpindah ke Sek Rendah Islam At-Tahfiz Pasir Gudang sewaktu darjah 4. Di kelas terakhir saya di tempatkan sebelum di tempat ke kelas ke 3 daripada 4 kelas yang ada untuk pelajar darjah 4. Istimewanya, saya tidak perlu ke sekolah agama lagi kerana matapelajaran yang saya ambil sudah ada pelajaran agama seperti akhlak, ibadah dan sebagainya.

2 borang surat permohonan sekolah ke tingkatan 1 dihulurkan pada ayah.

“Sek Men Keb Agama Johor Bahru ni kat Johor Jaya. Dekat je. Sek Men Kerajaan Johor kat Kluang. Jauh sikitla.” Kata ayah.

“Along nak yang dekat tau ayah. Ayah mintakkan yang dekat ni.” Dengan yakin bahawa saya akan dapat bersekolah di situ.

Suatu hari ayah tunjuk kertas berwarna coklat, tertera, ‘Sek Men Agama Kerajaan Johor’. Saya bingung ketika itu. Masih keliru dengan 2 nama sekolah yang hampir sama. Ayah tidak kata apa-apa.

Sepanjang saya menuntut di SMAKJ, hampir setiap minggu ayah dan ibu datang menjenguk. Subhanallah.. tidak terkata pengorbanan mereka. Bukan dekat saya kira. 4 jam pergi dan balik. Tanpa mengira kos, masa, malah ibu dan ayah pernah menjenguk sehingga 2 kali dalam seminggu. Tidak ada langsung kata keluhan dari mereka.

Sehinggalah tingkatan 4, akhirnya saya dipindahkan ke SMKAJB. Jalan kaki pun boleh untuk datang ke warung. ‘Dekat benau ler’ bak kata mak (nenek sebelah ibu) pun. Di sinilah, segalanya bermulanya. Apa yang mula?

Apabila menjejakkan kaki di bumi SMKAJB, kehadiran saya di sambut baik walaupun pada mulanya pelajar baru sukar mendapat sambutan dari pelajar lama. Akhirnya saya mula aktif dengan pelbagai aktiviti, melibatkan diri dengan jawatan itu dan ini. Dan di sininya bermula, graf akademik saya mula menurun. Jika UPSR saya peroleh 4A1B, SMRA 8Mumtaz2Jaidjiddan, PMR 8A1B, namun di peringkat SPM, saya peroleh 7A daripada 10 matapelajaran yang diambil. Sebelum keputusan lebih meleset sewaktu saya menuntut di matrikulasi.

Di bumi perjuangan kini, kelab-kelab yang saya minati seperti Kelab Debat dan Kelab Pingpong terpaksa saya tolak ke tepi bagi memberi tumpuan pada satu kelab yang bagi saya... di situlah dakwah, di situlah usrah, di situlah pembaikan ummah. Jangan beralasankan dakwah, tarbiyyah dan program sebagai penghalang kepada lemahnya akademik. Dakwah dan pelajaran bukanlah seperti jongkang jongkit. Bila dakwah di atas, pelajaran di bawah. Bila pelajaran di atas, dakwah di bawah. Itu bukanlah dakwah namanya dan itu bukan belajar namanya. Dakwah dan pelajaran kena berkadar terus dan tidak boleh inversely proportional. Orang yang melakukan kerja dakwah dengan ikhlas akan menemukan Allah dalam pelajarannya.

Ilmu-ilmu tersebut adalah ilmu Allah. Kalau orang lain study 1 jam, orang yang melakukan kerja-kerja dakwah hanya memerlukan 10 minit sahaja kerana ada keberkatan masa dalam studynya. Namun, perlulah ikhlas. Kena check juga hati tu masa buat kerja dakwah, ada tak berlaku tarik tali dengan Allah. Terdetik di hati, banyak lagi yang tidak habis belajar, assignment banyak tidak siap, ada keraguan dalam hati seolah-olah tidak yakin dengan janji Allah. Siapa yang menolong agama Allah nescaya Allah akan menolongnya. Itu yang Allah janji dalam firmannya di dalam surah Muhammad ayat 7 dan janji Allah itukan pasti. Kita melakukan jual beli dengan Allah, tapi kita tidak bayar lagi. Allah dah beritahu kita dalam surah assaf ayat 10. Kita berdoa tapi tiada kesungguhan dalam doa kita. Kenapa tidak yakin? Wajarkah kita meragui janji Allah? Siapa kita untuk meragui Allah yang menciptakan kita? Yang telah banyak memberi nikmat kepada kita? Kita berdakwah tetapi hati kita tiada dengan Allah. Kenapa?

Jadilah seorang insan yang ingin dakwah terlihat dalam setiap perbuatannya. Setiap kali bergaul dengan rakan sekelas, pensyarah, di kafeteria dan kelas, di masjid atau di mana sahaja, kita merasakan kemanisan Iman dan Islam. Setiap kali melihat kita, mereka merasakan keindahan Islam. Jadikan setiap perbuatan kita menjadi manifestasi dakwah itu sendiri. Pelajaran kita, hubungan dengan keluarga dan teman-teman, segalanya adalah dakwah. Moga kita sentiasa dalam usaha merealisasikannya. Allahuakbar!
~Mujahadah Duhai Diri~

25/07/11

Buat Insan Bergelar DAIE

Bismillahirrahamnirrahim
Lemahnya bila saya membaca mesej dari seorang insan yang saya gelarkan ‘sahabat’ sebelum ini dan tidak pasti apakah statusnya yang dapat saya beri dengan lapang dada selepas ini kepadanya. Bila berlaku tidak puas hati, kecil hati, sakit hati, itu perkara biasa bagi saya apabila berkecimpung di dalam sesuatu organisasi.

Dulu saya merasa semangat saat-saat aktif dalam dakwah. Tetapi kebelakangan ini rasanya semakin terasa hambar. Ukhuwah makin kering-kontang, bahkan saya melihat ternyata banyak ikhwah dan akhawat yang aneh dan pelik!

Lalu apa yang ingin saya lakukan setekah merasakan semua itu? Serasa ingin berhenti sahaja, keluar dari tarbiyah ini. Saya kecewa dengan perilaku dan sikap beberapa ikhwah dan akhawat yang tidak Islami. Juga dengan organisasi dakwah yang saya geluti, kaku dan sering mematikan potensi anggota-anggotanya. Jika terus begini, lebih baik saya bersendirian sahaja.

Adakah anda seperti saya?

Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian, bila satu kali kita naik sebuah kapal mengharungi lautan luas. Kapal itu ternyata sudah rosak. Layarnya banyak berlubang, kayunya banyak yang reput, bahkan kabinnya penuh dengan sampah bauan kotoran manusia. Lalu apa yang kita lakukan untuk tetap sampai pada tujuan? Apakah wajar kita memilih untuk terjun ke laut dan berenang sampai tujuan?

Bila kita terjun ke laut, sesaat kita akan merasa senang. Bebas dari bau kotoran manusia, merasakan kesegaran air laut, atau bebas bermain dengan lumba-lumba. Tapi itu hanya sesaat. Berapa kekuatan kita untuk berenang sampai tujuan? Bagaimana bila ribut datang? Dari mana kita mendapat makan dan minum? Bila malam datang bagaimana kita mengatasi hawa dingin?

Apakah kita masih merasa bahawa jalan dakwah adalah jalan yang paling utama menuju redha Allah SWT? Bagaimana bila ternyata kereta yang kita bawa dalam menempuh jalan itu ternyata rosak dan bermasalah? Kita akan berjalan kaki meninggalkan kereta itu tersadai di tepi jalan atau mencuba memperbaikinya?

Allahuakbar… cukup-cukup.. Istiqamahlah kita dengan jalan ini.. kita berdakwah bukan untuk mendapat pingat kehormatan atau agar setiap kata-kata kita diperhatikan. Atau kita mendapat nama di sisi manusia. Biarlah yang lain dengan urusan peribadi masing-masing. Biarlah kita tetap berjalan dalam dakwah dan hanya Allah swt sahaja yang akan membahagiakan kita kelak dengan janji-janjiNya. Biarlah segala kepedihan yang kita rasakan menjadi pelebur dosa-dosa kita.

Mereka adalah kumpulan insan yang punya banyak kelemahan dan kekurangan. Tetapi di sebalik kelemahan itu, masih amat banyak kebaikan yang mereka miliki. Mereka adalah peribadi-peribadi yang menyambut seruang Allah untuk berdakwah. Dengan begitu mereka sedang berproses menjadi manusia terbaik pilihan Allah swt.

Bila ada satu dua kelemahan dan kesalahan mereka, janganlah hal itu meresahkan perasaan kita. Sebagaimana Allah swt menghapus dosa manusia dengan amal baik mereka, hapuslah kesalahan mereka di mata kita dengan kebaikan-kebaikan mereka terhadap dakwah selama ini. Kerana di mata Allah swt, belum tentu kita lebih baik dari mereka.

Mundur lemah atau bahkan berpaling menjadi lawan bukanlah jalan yang masuk akal. Apabila setiap ketidaksepakatan selalu diselesaikan dengan jalan itu maka apakah dakwah ini dapat berjalan dengan baik?

Kita bukan sekadar pemerhati yang hanya berkomentar. Atau hanya pandai menuding-nuding jari kerana sesuatu kesalahan. Kalau hanya itu, orang kafir pun boleh melakukannya. Tapi kita adalah daie. Kita adalah khalifah. Kitalah yang diberi amanat oleh Allah swt untuk menyelesaikan masalah-masalah di muka bumi. Bukan hanya membongkarnya, yang menjadikan ia semakin meruncing dan membarah.

Tapi bagaimana kita bole memperbaiki organisasi dakwah dengan kemampuan saya yang lemah ini? Siapa kata kemampuan kita lemah? Apakah Allah swt menjadikan begitu kepada kita? Semua manusia punya potensi yang berbeza. Namun tak ada yang mampu melihat bahawa yang satu lebih baik dari yang lain.

Bekerjalah dengan ikhlas. Berilah kerjasama dalam kebenaran, kesabaran dan kasih sayang pada semua ikhwah dan akhawat yang terlibat dalam organisasi itu kerana peringatan selalu berguna bagi orang yang beriman. Bila ada sebuah isu atau fitnah, tutuplah telinga kita dan bertaubatlah. Singkirkanlah segala prasangka kita terhadap saudara kita sendiri.

Ikhlas adalah roh setiap amal. Ikhlas adalah motivasi yang kuat agar amal kita tetap terjaga sentiasa tidak usang kerana kepanasan dan tidak luntur kerana kehujanan, tidak ghurur kerana pujian dan tidak kendur kerana cacian. Terus bergerak kea rah tujuan yang paling tinggi puncak dan cita-citanya. Peliharalah keikhlasan dalam bekerja. Semoga kita sama-sama terus istiqamah dalam dakwah dan tarbiyyah.

Organisasi penglibatan saya bukanlah satu. Yang baik dikutip bersama. Apa yang saya catatkan saya edit dari sebuah artikel yang penuh makna.

~Mujahadah Duhai Diri~

Ikhtilat Ikhwah dan Akhawat


Bismillahirrahmanirrahim
Seronok tengok kandungan fail yang berisi artikel-artikel yang diperoleh semasa di matrik dulu. Banyak isi penuh makna dan ilmu. Terhenti seketika pada satu ruangan. Termenung seketika. Apa yang saya bimbangkan dulu kini benar-benar terjadi. Saya melihat suasana ikhtilat pada diri saya sendiri tidak lagi seperti dulu.

“Bila kita melihat sesuatu maksiat itu biasa, maka semaklah hati. Bila masuk kampus nanti orang yang berfikrah pun bermesej-mesej perkara yang tidak penting, couple.” Tiba-tiba nasihat seorang kakak yang saya kenali, yang kini menuntut di UKM, bermain di fikiran.

Kadangkala perhubungan dimulakan atas dasar kerja tetapi akhirnya melarat kepada perkongsian peribadi bukan perkongsian kepakaran. Maka tenggelamlah konsep ‘kerja adalah kerja, peribadi adalah peribadi’. Kononnya hendak memahami dan mewujudkan keserasian dalam bekerja. Seolah-olah kita mencari keredaan manusia dalam kemurkaan Allah. Apabila wujud golongan yang menegah dan menunjukkan kaedah muamalat yang selari dengan syariat Islam maka timbullah konsep SYADID. Sememangnya Islam itu mudah dan tidak membebankan tapi tidak bermakna kita layak untuk mempermudah-mudahkan syariat Islam.

Adakah salah seorang nisa’ dan rijal menjaga maruah dan pergaulannya? Bercakap, berurusan, berjumpa dan berbincang atas keperluan? Adakah salah bagi seorang nisa’ terutamanya menegaskan suaranya dan menjaga pandangan demi menjaga maruah dirinya. 

Dalam Al-Quran ada menyebut, maksudnya, “Katakanlah kepada lelaki-lelaki dari orang-orang beriman supaya menahan pandangan mereka serta menjaga kehormatan mereka dan katakanlah kepada perempuan-perempuan dari orang-orang yang beriman supaya menahan pandangan mereka serta menjaga kehormatan mereka dan katakanlah kepada perempuan-perempuan dari orang-orang yang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka.” (An-Nur :31)

Sebenarnya, dalam Islam, lelaki dan perempuan tidak dibenarkan bergaul terlalu rapat, sehingga menjadi teman karib dan sebagainya. Lelaki tidak boleh menghampiri perempuan dan perempuan tidak boleh menghampiri lelaki sesuka hati tanpa sebab. Tetapi Islam membenarkan apabila ada keperluan dan tujuan yang benar-benar perlu. Untuk berbual-bual kosong atau bergurau senda tanpa tujuan tertentu adalah tidak dibenarkan. Apatah lagi untuk saling meluahkan perasaan dan sebagainya. Cukuplah kaum sejenis sendiri untuk dijadikan teman karib dan tempat berbincang masalah.

Apabila rijal dan nisa’ berjumpa tidak kira atas apa jua keperluan dan keadaan perlulah berteman. Daripada Jabir bin Samurah berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah salah seorang daripada kalian berdua-duaan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya". - Hadis Riwayat Ahmad &Tirmidzi dengan sanad yang sahih.

Ada yang menimbulkan alasan malas menyusahkan rakan untuk menemankan kita. Malas nak tunggu rakan. Malas itu, malas ini. Besar sangatkah malas kita berbanding arahan Allah dalam Al-Quran??? Tegarkah kita melawan syariatNya?.

Haq dan batil tidak boleh bercampur. Islam itu lahir daripada keruntuhan jahiliah. Kita ini terbalik pula. Islam itu jadinya pada kita bercampur dengan jahiliah. Maka patutkah Allah reda dengan tindakan kita? Sepatutnya kita melihat melalui kaca mata al-Quran yang sudah terang haq dan batilnya. Bagaimana indah sekalipun jika yang batil itu dicantikkan oleh syaitan, kita tetap akan sedar betapa buruknya apa yang kita lakukan, betapa jijiknya dan kotornya dosa yang kita lakukan itu. SubhanAllah.

Allah nasihatkan jangan mendekati zina bukan bermaksud jangan berbuat zina. Tetapi Allah bermaksud, jangan 'pergi ke arahnya'. Sebab? Yang pertama, kamu akan cenderung melakukan zina. Sebab yang kedua, adalah kerana itu akan menimbulkan fitnah".
Cakap-cakap orang... Apa kata orang bila nampak lelaki perempuan berdua? Apa terdetik di hati orang yang melihat mereka berdua? Adakah orang akan tahu mereka berbincang tentang apa? Adakah orang akan sangka mereka cuma berbual sahaja?
"Yang baik akan bersangka baik dengan mereka, 'mungkin hal persatuan agaknya'... Tetapi yang tidak baik, apa yang difikirkan mereka?"
"Inilah yang Allah nak elakkan, 'peluang-peluang' untuk orang mengata.' Peluang-peluang' untuk orang berdusta. 'Peluang-peluang' inilah FITNAH".

"Amatlah rugi orang yang sudah sampai kebenaran padanya namun dia menolak dengan perasaan bongkak dan benci".

"Perempuan kena sentiasa berjaga-jaga. Elakkanlah 'fitnah' kepada diri sendiri. Dan lelaki pula, harus hormat martabat dan darjat wanita, jaga dan bimbing mereka ke jalan yang benar..."

24/07/11

Seksa Jiwa Bila 'Bergaduh' Dengan Ibu

Bismillahirrahmanirrahim..
Setelah 2 minggu nenek menginap di rumah kami, baru sat petang tadi insan yangku gelarkan ‘mak’ sejak dari kecil itu dihantar ke rumah CikLela. Anak ke-3 dalam kalangan adik beradik ibu. Rindu juga dengan dia walaupun baru petang tadi mak balik rumah CikLela. Selalu ada juga teman nak ‘dikacau’ sebelum tidur, teman berbual. Tak pernah mak semesra ini sebelum ini atau mungkinkah saya yang tidak melayaninya dengan baik sebelum ini?

“Kau tak tahu yaya, nanti yaya dah jadi ibu barulah yaya tahu macam mana,” terngiang-ngiang pula kata-kata mak siang tadi bila mak bercerita tentang dirinya sebagai seorang mak kepada 4 orang anak. Saya dan ibu pula, sejak hari Khamis selepas tidak diberi izin untuk turut serta dalam aktiviti luar terus sahaja merajukkan diri mungkin. Apatahlagi bila mendengar sahabat yang sepatutnya pergi bersama akhirnya pergi tanpa saya, tiba di sana lewat malam seorang diri. Saya seakan menyalahkan diri, menyalahkan ibu. Hai anak apakah saya ini? Sungguh, sukarnya bagi saya untuk menjadi ‘anak soleh’.

"Kalau macam ni la along dengan ibu, along cari orang jauh je la long," kalau ibu dah merajuk.. Adeh...

“Sementara masih ada yaya…” sayu sungguh pesanan mak. Saya tertunduk menghayati bait katanya yang sedang melipat baju di atas sofa. Ketika itu sedang bersiap untuk ke warung seperti biasa.

“Pujuk je la ibu tu long. Anggaplah ibu sayang along, sebab tu ibu tak bagi pergi.” Kata ayah. Sungguh jiwa ini masih memberontak. Ya Allah.. kenapa ego sungguh jiwa seorang anak ini. Di manakah aula nya? Allahuakbar.. 

Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa."Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no: 1899 (Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada keredhaan ibubapa)dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 515.

Jadi, nak tak nak, kena juga. Susah tak susah, buat juga jika benar nak reda Allah, ketahuilah bahawa hubungan seorang anak dengan ibubapanya memiliki kaitan dengan hubungannya kepada Allah. Jika seorang anak berbuat baik kepada kedua ibubapanya sehingga mereka redha kepadanya, maka Allah juga redha kepada anak tersebut. Akan tetapi jika seorang anak tidak berbuat baik sehingga menimbulkan kemurkaan ibubapanya, maka Allah juga murka kepadanya.

Dan dalam memberikan ketaatan kepada ibu bapa, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengingatkan:

"Menjadi kewajipan seorang muslim untuk mendengar dan taat dalam perkara yang disukai mahupun yang dibenci selagi mana ia tidak melibatkan maksiat. Maka jika disuruh untuk melakukan maksiat maka tidak perlu mendengar dan tidak perlu mentaatinya." (Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 7144 (Kitab al-Ahkam, Bab mendengar dan taat kepada pemerintah selagi mana ia bukan merupakan maksiat).

Terfikir juga, bila ibu dah faham apa yang diperjuangkan, mungkin ibu tidak lagi menghalangkan? Nak tak nak, risalah Islam kepada 'masyarakat kecil' ini perlu dipergigihkan. Selepas tanggungjawab ke atas diri sendiri ialah tanggungjawab terhadap keluarga. 

"Oleh itu janganlah kamu menyeru (menyembah) tuhan yang lain di samping Allah yang menyebabkan kamu termasuk golongan orang-orang yang diazab dan berilah peringatan kepada kerabatmu yang terdekat dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu iaitu orang-orang yang beriman." (Surah Al-Syua'ra 26:213-215)

Dari tempat duduk belakang, saya merangkul bahu ibu dan mendekatkan wajah. 

"Ibu...." ibu tersenyum...

"Ingatkan nak merajuk lagi," sindir ibu.. 

"Alhamdulillah.." getus hati. Namun ada satu perkara yang masih dibimbangkan.. Qhadijah.. apalah khabarmu sahabat.. Sudah ada di mana sekarang ni? Prepaid takdak.. Ya Allah.. selamatkan dia di mana dia berada.. 

~Mujahadahlah Duhai Diri~

12/07/11

Pesan Atuk Tengok Tv9

Bismillahirrahmanirrahim.. 
Turun sahaja dari kereta, kelihatan atuk Hj Hussin Bandung, yang merupakan seorang bilal di surau salah satu surau di Johor Jaya, sedang 'ngeteh' nampaknya di warung ibu. Agak lama tidak bertemu. 'Best' bila dapat jumpa atuk Hussin, banyak isi, banyak 'perli' untuk kesedaran diri.

"Tengoklah TV9 Halakah. Tengok tak?"  Saya menyeringai. 
"Haha.. Tengoklah. Bagus tu. " Sambung atuk lagi.


Hampir-hampir terlupa, namun alhamdulillah berkesempatan juga. Halakah kali ini (Selasa, 12/07/11), Sentuhan Qalbu 2011.


Gaya persembahan sebegini pernah saya lihat dalam internet, tentang Surat CInta tapi Indonesia punya. Baguslah kalau cuba diaplikasikan di Malaysia. 

Menceritakan seorang suri rumah, Norlida Abu Hassan, yang diuji setelah senang, senang setelah diuji. Apakah bezanya antara senang sebelum diuji dan senang selepas diuji?

Secara ringkas yang dapat saya kongsikan apa yang saya dapat, bak kata Puan Norlida, "Saya anggap kejayaan yang saya miliki itu adalah usaha saya sendiri." Itu sebelum diuji. Tetapi selepas diuji, dia jadi insan yang bersyukur, rapat dengan Allah. 

Buat pengetahuan para pembaca sekalian, mungkin ada juga yang menonton sama, apakah menu makanan buat anak-anak Puan Norlida saat dia diuji?  Ya, nasi goreng yang hanya berperencahkan bawang dan garam. Pernah rasa? Esok kita cuba masak, kita rasa. Setiap hari, itulah menu mereka. 

Para pembaca yang dikasihi sekalian, kalau kita ada di tempat anak-anak ini, tahankah? Sabarkah? Kata si ibu, "Sedikit pun mereka tidak mengeluh, mereka makan dengan gembira!" Subhanallah.. malunya saya dengan diri saya sendiri.. Tiada kata "asyik nasi goreng sahaja!". Subhanallah.. Mereka ke sekolah tanpa berbekalkan duit belanja. Mereka bukan bermula dengan keadaan susah, mereka asalnya hidup senang tetapi selesa dengan keadaan tersebut! Kita macam mana kita?

Petang tadi, seorang sahabat mesej, "Assalamualaikum. Apa beza BERSABAR dan BERSYUKUR? Ada persamaanka antara BERSABAR dan BERSYUKUR?"

Boleh saya katakan SABAR bila diuji, SYUKUR bila mendapat nikmat? Hasil dari ujian, kita melihat hikmahnya. Bukankah hikmah itu satu nikmat? 

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannnya, (Mereka berdoa) : :Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami apa yang kami tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." (Surah Al-Baqarah 2:286)

Bukanlah kekayaan, kemuliaanmu, tapi ketakwaanmu, ketaatanmu kepada Allah. Itu lah orang yang mulia, dan terhormat. Mereka yang paling layak mendapatkan 'senyuman' Allah dan pujian dari Allah. 

"....Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh Allah Maha Mengetahui, Mahateliti." (Surah Al-Hujurat 49:13)

Para pembaca yang dikasihi sekalian, Allah telah menempatkan kita ditempat yang tinggi.

''Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ''Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.'' Mereka berkata: ''Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?''. Tuhan berfirman: ''Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui''(Al-Baqarah:30) 


Sedarkah selama ini kita telah membiarkan manusia menjadi juri? Yang diajar kepada kita apa?

 “Along carilah ilmu setinggi-tingginya, agar jadi engineer ada wang, naikkan nama keluarga ayah dan ibu dalam keluarga!” 

Kita dipenjara, sempit di bawah penilaian manusia sedangkan itu semua adalah fana. Dewasalah kita dalam jiwa yang sempit yang tidak pernah puas dengan dunia. Kita jadi pencinta dunia. 

"Dan Dialah yang telah menciptakan bagi kamu sekalian, pendengaran, penglihatan dan hati. Amat sedikitlah kamu bersyukur." (Surah Al-Mukminun 23:78) 
"Celakalah (orang yang hidupnya menjadi) hamba-abdi dinar, celakalah (orang yang hidupnya menjadi) hamba abdi dirham. Celakalah (orang yang) menjadi hambar kepada pakaian. 
(Hadis Riwayat Imam Bukhari)


Kebaikan itu semuanya terhimpun dalam empat perkara: 
Tiap-tiap percakapan yang tidak disertai dengan mengingati Allah adalah sia-sia. Tiap-tiap diam yang tidak disertai dengan memikirkan kebesaran Allah adalah leka. Tiap-tiap pandangan yang tidak disertai dengan pengambilan iktibar adalah lalai. Tiap-tiap gerak yang tidak disertai dengan penghambaan adalah kosong. 
Itulah pesanan dari Saidina Ali r.a . 

~Mujahadahlah Duhai Diri~

9/07/11

Bila Hidayah Menjengah

Bismillahirrahmanirrahim.

Dengan berbaju kurung berwarna kuning dan bertudung hitam, saya ke rumah Tok Deris yang tinggal berdekatan warung ayah dan ibu yang juga merupakan ayah angkat kepada ayah dan ibu saya. Ayah dan ibu sudah melawat jenazah di awal pagi tadi. Dari luar saya lihat beberapa orang makcik di dalam rumah. Ada juga yang duduk di tangga rumah. Mungkin kerana lenguh bersila. Di luar rumah, saya lihat ada beberapa orang lelaki yang tidak saya perhatikan apa kerjaan mereka. Terus masuk dan berhenti di tangga rumah Nek Mah, isteri kepada arwah Tok Deris, kelihatan seorang makcik duduk di tangga rumah tersenyum melihat kelibat saya. Saya agak kerkesima melihatnya.

“Yaya, ibu mana?” kata makcik bertudung dan berbaju kurung hijau itu.

“Ibu dah lawat pagi tadi. Sekarang dah kat warung.” Adik dan kawan baik dia pun dah melawat. Kerna itu saya hadir seorang diri. Pada mulanya malu juga. Tak pernah sebelum ini hadir melawat kematian seorang diri.

“Yaya, cantik tak cik pakai tudung?” Sambil tangannya memegang atas tangan saya. Makcik yang saya kenali kerana sering menghantar kuih muih jualan kepada ibu di warung pada setiap kali bulan Ramadan berkunjung.

Sambil tersenyum, saya menjawab, “Cantik…” Dia membalas senyuman. Alangkah syukurnya, insan yang selama ini mempersoalkan, “Siapa lagi nak duduk neraka kalau bukan aku?!” Di hadapan saya ini membungakan bahagia di hati yang mendengar.

“Cik tengah kumpul tudung. Cik dah nak pakai tudung. Tapi sikit-sikitla. Cik taknakla macam ada sesetengah orang kejap pakai kejap bukakkan...”
“Istiqamah,” saya mencelah bila terfikirkan perkataan tersebut. Malangnya, bila saya menoleh ke dalam, kelihatan dua wanita yang saya cari sedang duduk berdekatan jenazah.
“Kak Intan dan Cikmah,” getus hati saya. Kelihatan mereka sedang merenung ke arah saya. Tumpuan saya pada makcik ni beralih lalu meninggalkan makcik di situ.

“Yaya nak minta izin masuk jumpa nenek ye?”

“Yelah,masuk-masuk,” jawab makcik tadi. Selesai membacakan yassin di hadapan arwah, saya lihat makcik dah tiada di situ. Timbul kekesalan di hati.

Pembaca sekalian, Hidayah Allah milik hati yang mencari dan berhajat padanya. Orang yang tidak mencari hidayah adalah orang yang sombong dengan Allah. Orang yang sudah ditunjuki cahaya hidayah boleh hilang hidayahnya andai dia lalai menjaga hidayahnya.

Jadi apa peranan saya? Sewajarnya saya mendorongnya untuk memulakan langkah. Bak kata Saad bin Abi Waqqas, “Aku adalah anak-anak panah Islam. Campakkanlah aku ke mana sahaja aku tetap berjuang demi Islam.”

Rumah makcik dekat saja. Cuma nak ke tak nak je untuk berkunjung ke rumah dia. Cuma ada sesuatu yang saya bimbangkan, KELUARGA sendiri. Fahamkah mereka apa yang ingin saya laksanakan ini adalah misi dakwah?

Sesungguhnya perjuangan ertinya menjala susah, meratah gundah, merelakan pengrorbanan, menanggung penderitaan. Tabahkan dan bertindak secara matang dalam mengharungi kepayahan, biarlah Allah menentukan hasil dan balasannya.

Jika ibu dan ayah kata, ‘Kau ni pandai cakap je, kau sendiri tak buat.’ Itu adalah teguran yang sangat bermakna! Awesome! Kerana mungkin ada yang saya tidak lihat dan tidak nilai, tapi insan yang terdekat menilai. Syukur Alhamdulillah.

Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang sedang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingati manusia.

Wahai insan di sekeliling saya, buat pembaca yang saya kenali atau tidak, bila berpeluang tegurlah saya jika kelihatan saya mulai sombong, tegurlah saya jika saya mulai angkuh, tegurlah saya jika saya mulai salah kerana saya masih sangat memerlukan sahabat sepertimu hari ini, esok, dan selamanya. Jika saya bermasam muka, janganlah berkecil hati tetapi berilah saya masa. Itu bukanlah bermakna saya tidak menerima teguranmu sahabatku, tetapi akibat sedih perkara yang ditegur pastinya buruk dan ada pula pada diri. InsyaAllah, saya mesti akan terima teguran tu, kerana teguranmu itu sangat bernilai untuk saya membaiki diri.

Jazakumullahu khairan kasiroh kerana sudi luangkan masa untuk membaca.. Walau di mana jua, kita fahami Islam, amalkan Islam, sebarkan Islam. Jangan serik terlibat dalam perjuangan Islam. Jangan ada yang tercicir dari perjuangan Islam.

Andai kau tahu betapa besarnya pahala untuk membantu Islam, nescaya kau tidak akan tinggalkan tugas ini walau sesaat. Andai kau tahu betapa azabnya meninggalkan amar makruf nahi mungkar serta melaksanakan amanah, nescaya kau menghargai sesaat pemberian Allah, andia kau tahu betapa tingginya nilai persahabatan atas dasar aqidah islamiyah, nescaya kau menutup lubang-lubang yang akan merosakkan mahabbah. Andai jasad kita mengorak tarbiah, meneruskan mujahadah, maka biarlah hati kita menempuhnya. 

 InsyaAllah. Moga hidayah Allah sentiasa bersama kita.

~Mujahadahlah duhai diri~