Bismillahirrahmanirrahim
Tuhanku iaitu Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu agar kamu bertakwa." (Surah Al-Baqarah: ayat 183)
Sejujurnya saya resah menanti Ramadan kerana sering memikirkan ‘mampukah aku lakukan yang terbaik Ramadan kali ini’? Moga Ramadan kali ini kita hadapi lebih baik terutama mahasiswa seperti saya yang berpeluang berpuasa di rumah dari awal Ramadan hinggalah ke akhirnya insyaallah. Dengan tiada tugasan seperti sahabat-sahabat kita yang berada di ‘medan jihad’ meneruskan perjuangan menuntut ilmu, ada yang mungkin sedang bekerja, ada yang mungkin sedang LI dalam dan luar. Berbanding kita yang menjadi suri atau sura rumah (mungkin ditujukan kepada muslimin kowt) sepenuh masa, berpeluang melaksanakan ibadah-ibadah khusus sebaiknya. Jangan! Jangan dilepaskan peluang ini! Peluang yang tidak pasti selepas ini akan datang lagi atau tidak. Namun, bagi sahabat-sahabat yang bukan seperti saya, teruskan perjuangan anda, pasti ada juga nilai untuk anda. Jangan risau, Allah Maha Adil.
Ramadan 1432H, tahun 2011, merupakan tahun ke 20 saya menyambut Ramadan.
“Ibu, masa mula-mula along belajar puasa macam mana ye?” sahaja saya membuka cerita untuk mengimbau kenangan lalu bersama ibu. Sejak menulis blog, suka benar saya bertanya soalan-soalan sebegitu kepada ayah, ibu dan sesiapa sahaja yang berkaitan. Mungkin untuk ditulis, mungkin juga untuk difikirkan sendirian.
“Sampai lebam-lebam mata,” jawab ibu sampai tersenyum. Saya pula tergelak lucu membayangkan wajah sendiri semasa kecil.
“Ayah curi-curi bagi makan,” tambah ibu.
“Awak-awak, jangan bagitau ayah kita tau kita dah minum. Ingat tau,” saya meminta dari kawan baik saya ketika zaman kanak-kanak dulu yang melihat saya meneguk air mineral di dalam kereta. Kelakar juga.
Pernah sewaktu saya berada di tingkatan satu, saya meletakkan biskut kacang pemberian ibu dan ayah di dalam beg balik kampong. Pada malamnya, terasa ingin menjamah biskut kegemaran saya ketika itu. Beg tersebut saya letakkan di dalam bilik penyimpanan beg. Tercengang dan beristighfar saya apabila melihat beg saya terbuka, dan biskut saya yang asalnya masih belum berbuka berterabur di luar beg. Pelik dan ajaib.
“Takkan kucing makan biskut kak?” berkecut dahi saya semasa memberitahu kakak ‘couple katil’ saya. Kakak-kakak dorm semua menggelakkan sahaja. Mungkin lucu, ada yang mencuri biskut kacang dalam beg balik kampong. Apa sahajalah.
Ramadan.. Ramadan.. Ramadan.. Madrasah Ramadan, madrasah tarbiyah. Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian, selama kita melalui madrasah ini adakah meninggalkan bekas? Apakah kita menjadi semakin insaf? Semakian reda dengan ketentuanNya? Semakin kuat berusaha keranaNya? Semakin sabar dengan ujian-Nya? Semakin ikhlas beribadat kepadaNya? Semakin berserah kepadaNya? Semakin yakin akan kehadiranNya? Semakin ingin kembali kepadaNya?
Atau, kita semakin menjadi pemarah? Semakin banyak berburuk sangka? Semakin menjadi pendengki? Semakin ego? Semakian tamakkan dunia? Semakin suka memfitnah? Semakin tidak sabar? Semakin suka berbohong? Semakin enak menikmati rasuah? Semakin asyik meninggalkan solat? Semakin kedekut? Semakin penakut? Semakin malas berjihad? Semakin menurut hawa nafsu yang meliar?
Sungguhpun soalan-soalan ini Nampak ringkas tetapi hati yang jujur akan menggeletar untuk menjawabnya. Senarai ini boleh dijadikan senarai semak untuk mengukur tahap perjalanan kemajuan rohani meliputi persoalan mengukur prestasi ibadah puasa.
Setiap coretan di blog saya bukanlah bermakna saya cukup sempurna tentang apa yang saya bicarakan, tetapi sebagai tatapan dan renungan bersama antara saya dan para pembaca. Para pembaca mungkin terdiri dari para sahabat yang mengenali diri dan saya dan tidak mengenali. Apabila saya terleka dan terlalai dari apa yang pernah saya bicarakan, ketika itulah anda memainkan peranan untuk memperingatkan. Namun, saya lebih berlapang dada jika teguran tersebut jujur dan ikhlas dari hati dan bukan bertujuan mengaibkan. Namun jika sebaliknya yang datang, apakan daya saya, teguran pastinya datang dari Allah dari medium yang menguji iman kepada Tuhan.
"Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yg terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan sedikitlah orang yang memberi peringatan."- Hasan al-Basri
~Mujahadahlah Duhai Diri~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan