Bismillahirrahmanirrahim.
Menelusuri kisah Asma binti Abu Bakar, merupakan anak kepada Sayidina Abu Bakar as-Siddiq. Adiknya Aishah binti Abu Bakar merupakan isteri kepada Nabi Muhammad S.A.W. Beliau berkahwin sebanyak dua kali dan suaminya yang terakhir adalah Zubair ibn Awwam, salah seorang 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Zubair bin Awwam terbunuh ketika Perang Jamal.
Dalam peristiwa hijrah, Asma’ ketika itu bertanggungjawab menyedia dan menghantar makanan kepada Rasulullah dan Abu Bakar yang bersembunyi di Gua Tsur selama 3.hari. Walaupun sedang mengandung, Asma’ gigih menjalankan amanah tersebut biarpun terpaksa bersusah payah dengan keadaan dirinya. Asma’ binti Abu Bakar telah mengoyakkan talipinggangnya menjadi 2 bahagian. Satu digunakan untuk mengikat makanan dan satu lagi diikat kepada pinggangnya. Kerana itulah Asma’ diberi julukan sebagai Dzatun Nithqain oleh Rasulullah yang bermaksud “Wanita yang mempunyai 2 talipinggang” . Rasulullah telah mendoakan agar talipinggang tersebut digantikan dengan yang lebih baik dan lebih indah di syurga kelak.
Perkahwinan antara Asma' dan Zubair dikurniakan 2 orang anak lelaki yang menjadi pembela agama Islam dan sangat dikenali iaitu Abdullah bin Zubair dan Urwah bin Zubair. Abdullah bin Zubair sangat terkenal dengan keberaniannya dan ikut serta dalam peperangan menakluki Afrika, Andalusia dan Konstantinopel. Ketika banyak umat Islam menolak kekhalifahan Yazid bin Muawiyah dan seterusnya Malik bin Marwan, umat Islam di Mekah telah mengakui Abdullah bin Zubair menjadi khalifah di Mekah dan Madinah. Namun, akhirnya Abdullah bin Zubair telah dibunuh dan diperlakukan dengan kejam oleh orang-orang Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Asma’ yang pada waktu itu berada di Mekah kerana menunaikan umrah telah bersedih hati di atas kejadian tersebut. Namun dia tetap sabar walaupun mayat anaknya diperlakukan dengan kejam oleh pembunuhnya.
Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sejak kecil lagi, Asma' telahpun memperdengarkan kalimat jihad kepada anak-anaknya,
"Hiduplah secara mulia, berjihadlah kamu kepada Allah dan matilah secara terhormat".
Sehinggakan, seawal usia 7 tahun, Abdullah telah mengajakteman-temannya bertemu Rasulullah untuk dibaiahkan kepada Baginda. Subhanallah...
Semoga kita muslimat dan isteri seorang muslimin menjadikan insan mulia Asma’ binti Abu Bakar sebagai contoh dalam kehidupan kita. InsyaAllah.
Segala penambahan ilmu sangat dialu-alukan. Saya ambil kisah ini dan diedit dari Wikipedia dan http://tajuladli79.blogspot.com/2011/05/terkenangkan-asma-binti-abu-bakar.html.
Jadi, sebarang pembetulan saya terima dengan lapang dada.Wallahua'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan